Berita

Tahniah TNB kerana tak tergoda pujukan 1MDB

PETALING JAYA, 18 MEI: DAP menyokong ketegasan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Azman Mohd enggan membayar ‘premium’ Projek 3B dalam pembelian ekuiti itu daripada 1MDB.

Urusan penjualan ekuiti kepada TNB itu diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Maximus Ongkili baru-baru ini. Ia merupakan sebuah projek loji kuasa arang batu yang mampu menghasilkan tenaga sehingga 2000MW.

Namun, pihak TNB menolak membayar apa-apa premium bagi pihak 1MDB.

Menurut Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua, pembayaran premium itu membimbangkan rakyat kerana ia akan dilihat sebagai usaha TNB menyelamatkan 1MDB yang terpalit pelbagai skandal dan gagal menguruskan dana kewangannya sebanyak RM11 bilion, di samping kemungkinan berlaku kenaikan tarif elektrik akibat kos besar perlu ditampung.

“Rakyat sangat lega dengan pengumuman Azman bahawa TNB tak akan membayar apa-apa premium untuk projek 3B.

“Sekiranya TNB mahu memiliki kepentingan 1MDB dalam Projek 3B, DAP sependapat dengan Azman supaya TNB diberi diskaun pada kos yang ditanggung 1MDB, bukannya membayar premium tidak wajar untuk menyelamatkan 1MDB,” ujar Tony.

Walaupun begitu, Tony tetap melahirkan kebimbangannya jika TNB akhirnya tetap menaikkan tarif elektrik apabila mereka berpendapat projek tersebut tidak mempunyai potensi.

Justeru, Tony menggesa pemberian projek tersebut diberi melalui tender terbuka dengan syarat Suruhanjaya Tenaga (EC) tidak boleh meluluskan apa-apa pemindahan hak konsesi loji kuasa jika ia melibatkan perubahan tarif.

“Azman sendiri mengatakan EC boleh mengambil kembali projek untuk dilelong semula. Semua keputusan ada di tangan kerajaan.

“Oleh itu, untuk melindungi kebebasan, integriti dan tadbir urus yang baik kerajaan perlu segera melaksanakan tender terbuka baru bagi Projek 3B untuk memastikan hanya pengeluar tenaga yang menawarkan tarif paling rendah diberi hak,” katanya. – Roketkini.com