Berita

Bayi pun sertai kumpulan militan IS?

Kerajaan mendakwa, pembabitan rakyat Malaysia ini dalam Negara Islam (IS) amat membimbangkan apabila anggota kumpulan itu ada yang berumur seawal satu tahun.

Dalam jawapannya kepada parlimen hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, individu paling tua dikesan menganggotai IS berumur 60 tahun.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia turut melibatkan kanak-kanak,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datoh itu, sehingga 7 Mei lalu seramai 154 orang rakyat Malaysia dikesan terlibat dalam gerakan kumpulan berkenaan.

Daripada jumlah itu, katanya, 91 orang sudah ditangkap.

“Baki 45 individu lain yang disahkan menyertai IS berada di kawasan konflik,” katanya.

Jumlah itu adalah termasuk 11 orang yang terbunuh dalam pertempuran di negara luar.

Bagaimanapun, kenyataan Zahid itu tidak memperincikan maklumat lanjut mengenai anggota IS yang berumur setahun itu.