Berita

Guan Eng: Gaduh dengan Najib sudahlah, jangan libatkan saya

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengecam keras kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu beliau berundur daripada jawatan kononnya atas alasan “menyebabkan masalah perkauman kian membarah di Malaysia.”

Mengulas dakwaan Dr Mahathir itu, Guan Eng berkata, kenyataan berkenaan langsung tidak mempunyai asas dan amat memalukan apabila ia keluar daripada bekas pemimpin tertinggi negara.

“Mahathir suruh saya berundur atas sebab kononnya saya telah menyebabkan masalah perkauman? Ini tidak betul.

“Saya tidak pernah mengamalkan politik perkauman dan saya sendiri pernah masuk penjara kerana selamatkan orang Melayu,” katanya dalam sidang media di Pejabat Penang Institute cawangan Kuala Lumpur di Bukit Kiara, hari ini.

Semalam Dr Mahathir melebarkan serangannya ke atas ahli politik dengan membabitkan Guan Eng bersama Datuk Seri Najib Razak.

Menjawab satu soalan, Dr Mahathir berkata, Najib dan Guan Eng perlu berundur selepas perbezaan kerajaan pusat dan negeri mewujudkan suasana politik yang tidak baik.

“Sejak 60 tahun negara ini stabil dan berkembang pesat. Tapi bila kita ada kerajaan yang berbeza di negeri, muncul perkara antagonis, kembali kepada sentimen perkauman dan sebagainya,” katanya.

Menurut Guan Eng, beliau tidak dapat memahami mengapa Dr Mahathir tiba-tiba menjadikan dirinya sebagai sasaran.

“Apakah kerana saya ini bukan Melayu, justeru saya dengan begitu mudah dijadikan sasaran?

“Dr Mahathir tidak sepatutnya mengheret saya dalam perbalahan beliau dengan Najib.

“Saya sebenarnya tidak mahu campur dengan perbalahan Mahathir dan Najib. Itu masalah mereka.

“Buat apa saya nak campur, saya tak mahu jadi macam kata pepatah ‘gajah sama gajah berlawan, pelanduk tersepit ditengah-tengah,” ujarnya. – Roketkini