Berita

Rohingya – Dasar tidak campur tangan ketinggalan zaman

KUALA LUMPUR, 18 MEI: ASEAN perlu merombak dasarnya yang menahan diri daripada campur tangan dengan negara anggota ketika isu pelarian etnik Rohingya semakin kritikal.

“ASEAN tidak boleh kekal dengan pendirian untuk tidak campur tangan hal ehwal negara jiran ketika keadaan kemanusiaan jelas dalam keadaan sangat berbahaya,” kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Menurut beliau, sebagai salah sebuah negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia tertakluk kepada undang-undang antarabangsa untuk menyelamatkan pelarian, termasuk Rohingya yang kini terdampar di laut.

Kata Charles, negara anggota Majlis Keselamatan PBB mesti menegakkan prinsip Tanggungjawab Melindungi (RtoP) melalui Resolusi 1674 yang diluluskan badan dunia itu.

“Undang-undang ini menetapkan bahawa tidak ada negara wajar menghantar pulang pelarian ke tempat mereka akan dianiaya atau bahaya,” kata Charles.

Semasa penubuhannya pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand, ASEAN menggariskan beberapa prinsip utama. Antaranya, dasar tidak mencampuri urusan dalam negeri sesama negara anggota.

Dasar tidak campur tangan tersebut mendapat kecaman hebat pada 2005 apabila ASEAN ketika itu langsung tidak membuka mulut berhubung rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar.- Roketkini.com