Berita

Sistem barter bukan penyebab aktiviti jenayah

TAWAU, 19 MEI: Cadangan Polis Diraja Malaysia menghentikan amalan sistem barter (tukar barang) di Sabah untuk mengekang aktiviti jenayah adalah amat mengarut, kata Naib Pengerusi DAP Negeri Chan Foong Hin.

“Logik untuk mengharamkannya atas alasan jenayah adalah langsung tidak munasabah,” katanya.

Bernama semalam melaporkan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menghentikan sistem pertukaran barang antara penduduk pesisir pantai Sabah dengan Selatan Filipina bagi membendung aktiviti jenayah termasuk penculikan di sana.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kes penculikan di Sandakan, Khamis lalu apabila kumpulan bersenjata menculik dua rakyat Malaysia dari sebuah restoran makanan laut.

Foong Hin menyatakan, cadangan Khalid itu jelas menunjukkan bahawa beliau dan anggotanya tidak memahami ekonomi tempatan dengan sebenar-benarnya.

Tegas beliau, sistem barter sudah diamalkan sejak berkurun-kurun lalu antara penduduk pesisir pantai Sabah dan selatan Filipina.

“Sistem barter bukan penyebab dan punca utama masalah ini, tetapi kegagalan polis dan pihak berkuasa menjaga sempadan,” tegas Foong Hin.

Jelas ADUN Sri Tanjong itu, sistem barter antara Sabah, Selatan Filipina dan Kalimantan Timur adalah aktiviti ekonomi yang penting dengan nilai dagangan antara RM150 juta hingga RM300 juta setahun.

“Sistem ini juga memainkan peranan penting meningkat dan mengekalkan pembangunan sosio ekonomi serta pertumbuhan ekonomi tempatan antara Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur,” katanya. -Roketkini.com