Berita

Dalil mana diguna Abdul Hadi marahi DAP?

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajar menunjukkan dalil daripada al-Quran yang dijadikan hujah oleh beliau untuk memarahi DAP atas alasan kononnya “menolak hudud.”

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini berkata, sebagai individu bukan beragama Islam, beliau hanya mengetahui agama itu bersifat ramah, bukan memarahi mana-mana pihak yang tidak sependapat.

“Kenapa Abdul Hadi tidak pula marah kepada pihak lain yang turut membantah pelaksanaan hudud. Mengapa hanya marahkan DAP?” katanya.

HududSemalam dalam satu majlis di Kuala Lumpur Abdul Hadi berkata PAS menunjukkan “kemarahan” terhadap DAP kerana sikap parti berkenaan menentang Kelantan yang mahu melaksanakan hudud.

Kata Abdul Hadi, kemarahan itu juga  “diizinkan Allah.”

“Marah ini sifat manusia. Kalau tak ada bukan manusia. Kita marah kepada perkara yang diizinkan Allah. Kalau tak izin, kita tak marah.

“DAP tidak bersetuju dengan hudud, buat kenyataan yang berlawanan dengan Kelantan. Jadi kita ada tanggungjawab kita (menjaga Islam). Kita marah.

“Kita marah sebab ia satu tanggungjawab Islam. Kita mesti marah. Tak marah, tiada kemanisan iman,” katanya dipetik Malaysiakini.

Hadi perlu faham konteks Malaysia

Guan Eng berkata, DAP membantah hudud bukan kerana ia sebahagian daripada agama Islam sebaliknya bertentangan dengan perlembagaan.

Malah, kata Guan Eng, Mahkamah Persekutuan sendiri memutuskan hudud tidak dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Adakah Abdul Hadi hanya marahkan DAP kerana kami satu-satunya parti yang ikhlas dan serius membantah undang-undang hudud dan tidak seperti parti lain yang sekadar bersandiwara mengikut arahan Umno?” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Abdul Hadi perlu faham bukan DAP sahaja membantah pelaksanaan undang-undang hudud, sebaliknya majoriti rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Pun begitu, demi memenuhi kepentingan politik sempit beliau, Abdul Hadi menggambarkan DAP sebagai halangan terbesar pelaksanaan hudud.

“Inilah barangkali sebabnya kenapa beliau mahu umat Islam berasa marah dengan DAP tapi bukan BN mahupun Umno, lantas berkata, “Kita mesti marah. Sebagai orang Islam, kita kena marah (dalam isu ini),” katanya.