Berita

FMT salah lapor kenyataan ADUN Kampung Tunku

PETALING JAYA, 20 MEI: Portal Free Malaysia Today (FMT) tersalah dalam laporannya mengenai kenyataan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San yang seolah-olah menganggap pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim lebih cekap.

Weng San berkata, laporan bertajuk “DAP akui pentadbiran Khalid Ibrahim lebih cekap” disalah tafsir dan berdasarkan konteks jawapan yang diberi kepada wakil rakyat negeri itu lebih lengkap dan cepat ketika Khalid menjadi menteri besar.

Laporan itu disiarkan FMT semalam.

Kata Weng San laporan berkenaan disiarkan hasil sidang medianya pada 18 Mei.

Namun, katanya, sidang media itu tiada kaitan dengan DAP.

“Saya cuma katakan, saya pernah membangkitkan perkara yang hampir sama dalam sidang DUN pada Mac 2012 dan jawapan yang saya terima pada masa itu adalah lebih lengkap.

“Perkataan lengkap tidak boleh disamakan dengan maksud atau perkataan cekap, lebih-lebih lagi saya tidak bermaksud bahawa pentadbiran Khalid Ibrahim lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap.

“Saya kesal dengan laporan itu dan mahu pihak yang berkenaan memperbetulkan kesilapan secepat mungkin,” kata Weng San.

Weng San Isnin lalu mengajukan soalan kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berhubung maklumat gaji, elaun khas, keraian, bonus dan ganjaran untuk kakitangan atasan di syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) di Selangor.

Kata Weng San, surat diterima 3 April lalu memaklumkan pertanyaan itu tidak boleh didedahkan kerana tertakluk mengikut Akta Perlindungan Maklumat Peribadi 2010 (Akta 709).

Namun kata Weng San, pejabat Menteri Besar Selangor telah menghubunginya dan dimaklumkan bahawa Pegawai Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sedang mempercepatkan pemprosesan maklumat berkenaan.

“Saya akan menunggu jawapan daripada pegawai-pegawai yang berkenaan.

“Saya memohon maaf jika kesilapan ini menyebabkan salah faham,” kata Weng San. – Roketkini.com