Berita

Kabinet bayangan hanya bayangan media

PUTRAJAYA, 20 MEI: Kabinet bayangan tidak pernah wujud dan apa yang diumumkan DAP semalam adalah jurucakap Parlimen, kata Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong.

Ujarnya, tuduhan segelintir pihak bahawa DAP membelakangi Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak benar sama sekali kerana kabinet bayangan itu sendiri tidak pernah wujud.

“Ada sedikit kekeliruan di sini, kerana saya amat pasti dari kenyataan semalam ia langsung tidak menyebut perkataan ‘kabinet bayangan’

teo-kok-seong“Apa yang kami bentangkan adalah jurucakap yang dibahagikan mengikut portfolio masing-masing bagi setiap Ahli Parlimen DAP, bukannya kabinet bayangan,” kata Kok Seong (gambar) ketika ditemui di Pejabat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.

Tegasnya, pembahagian tersebut sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan kabinet bayangan kerana ia bertujuan untuk menentang BN dari segenap isu berkaitan urus tadbir.

Semalam, media melaporkan kononnya DAP mengumumkan kabinet bayangan sendiri.

Sebenarnya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng cuma mengumumkan senarai Ahli Parlimen DAP sebagai jurucakap kepada 18 portfolio untuk mencabar kerajaan dalam semua isu tadbir urus.

Menyokong kenyataan Teo, ADUN Mengkibol Tan Hong Ping berkata, pembahagian tugas mengikut portfolio bukan perkara baru kerana sudah dipraktikkan oleh DAP Johor.

“Sebagai contoh, selesai PRU ke-13, setiap wakil rakyat DAP Johor diberi tanggungjawab mengikut peranan tertentu.

“Perkara ini bukan soal kabinet bayangan, tapi bagi memupuk dan mengukuhkan keupayaan wakil rakyat dalam parti dan saya sendiri diberi tanggungjawab memantau masalah air.

“Pembahagian ini adalah penting, supaya kami dapat bersedia apabila telah mendapat mandat di Nusajaya mahupun Putrajaya kelak,” ujarnya. – Roketkini.com