Berita

Penang Institute buka cawangan di KL, galakkan penglibatan generasi muda

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Dengan tertubuhnya Pejabat Penang Institute (PI) Cawangan Kuala Lumpur, ia diharap dapat lebih mendedahkan orang ramai terutamanya warga kota mengenai rancangan dan program yang sedang atau akan dijalankan di Pulau Pinang, kata Lim Guan Eng.

“Terdapat keperluan untuk kami melebarkan sayap di luar Pulau Pinang, memandangkan kepentingan strategik di mana terdapat ramai pemikir dan pembuat dasar di Kuala Lumpur.

“Ramai orang di luar Pulau Pinang tidak menyedari banyak program dan rancangan telah diumum serta dilaksanakan, sebab itu ia perlu diperkembangkan di sini,” katanya semasa majlis pelancaran.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata demikian ketika merasmikan cawangan badan pemikir bagi kerajaan negeri itu di Kompleks 1 Mont Kiara, semalam.

Katanya, idea-idea yang digariskan PI melalui Paradigma Pulau perlu disebarkan ke tempat lain terutamanya Kuala Lumpur untuk mempromosikan negeri tersebut sebagai bandar antarabangsa dan pintar.

Justeru itu, beliau juga berharap agar PI dapat melibatkan diri dengan pemikir dan pembuat dasar dari kalangan generasi muda melalui latihan amali serta program jangkauan strategik.

“Tidak ada bandar yang boleh menjadi bandaraya bertaraf dunia tanpa tenaga yang giat dan input daripada generasi muda.

“Pejabat PI di Kuala Lumpur diharapkan dapat menjadi saluran di mana generasi muda tanpa mengira mereka dari Pulau Pinang atau tidak, boleh menyumbang idea dan tenaga untuk mewujudkan sebuah bandar bestari dan pintar,” katanya semasa majlis pelancaran.

Pada masa sama, Pengerusi PI itu turut mengumumkan bahawa PI Kuala Lumpur akan membentangkan satu kajian mengenai sektor pendidian swasta Malaysia minggu ini.

“Beberapa penemuan dalam kajian ini nanti akan mengejutkan orang ramai termasuk pembuat dasar dari Kementerian Pendidikan,” ujarnya.

PI merupakan sebuah badan pemikir dan penyelidik dasar kepada kerajaan negeri Pulau Pinang yang giat menganjurkan program berhubung isu ekonomi, sosio politik, kajian bandar, sejarah dan kajian nusantara.

Antara program berbentuk intelektual yang dijalankan PI adalah seperti Pameran Sasterawan Negara bagi menyambut ulang tahun kelahiran ke 70 Sasterawan Negara, Professor Emeritus Muhammad Haji Salleh pada 9 hingga 14 April 2012 dan syarahan ‘Is Liberty an Islamic Value?’ oleh Mustafa Akyol, Februari tahun lalu. -Roketkini.com