Berita

DAPSY desak SPR kembalikan khidmat Penolong Pendaftar

Oleh: Aliff Fikri

PUTRAJAYA, 21 MEI: Pemuda DAP (DAPSY) mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula tindakan melulu mereka menghentikan pelantikan penolong pendaftar sementara (PPS) yang membawa masalah kepada rakyat.

Ketuanya, Teo Kok Seong berkata, setelah khidmat PPS daripada parti politik dihentikan atau tidak diperbaharui perlantikannya, beliau menerima pelbagai rungutan daripada orang awam.

Menurutnya, walaupun SPR mempelbagaikan kaedah pendaftaran pemilih baru seperti melantik pejabat pos sebagai ejen dan mengadakan program outreach, namun ia tidak memadai.

“Ramai berpendapat bahawa kaedah terdahalu masih relevan dan SPR tidak sepatutnya mempunyai apa-apa masalah untuk meneruskan kaedah itu.

“Kerjasama antara kedua-dua pihak telah terbukti berjaya dan berkesan.

“Kami berharap SPR dapat melantik semula PPS daripada wakil-wakil semua parti politik,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Pengerusi SPR Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Antara pimpinan yang hadir Setiausaha DAPSY Kebangsaan Tan Hong Pin, Penolong Bendahari Ng Wei Aik dan ahli jawatankuasa Muhammad Shakir Ameer Mohideen.

Dalam memorandum sama, DAPSY juga mendesak SPR untuk mendaftarkan pengundi secara automatik pada usia usia 21 tahun.

DAPSY turut berharap SPR dapat berpegang kepada prinsip satu orang satu undi dan setiap undi mempunyai nilai saksama mengenai soal persempadanan semula.

“Persempadanan semula seharusnya menggambarkan demografi masyarakat kita yang sebenar di samping merealisasikan semangat kesaksamaan,” tegas Teo yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Pada 16 Januari tahun lalu, Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming telah memohon SPR untuk menarik keputusannya tidak melantik penolong pendaftar pemilih, namun sehingga kini tidak dihiraukan. – Roketkini.com