Berita

Muhyiddin masuk gear 4, mahu Najib pecat Arul Kanda

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Mengakui sudah memasuki “gear 4”, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi tokoh berprofil tinggi terbaru mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memecat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

arul_1mdbTidak cukup dengan itu, bekas Menteri Besar Johor itu juga meminta skandal kewangan yang menggerunkan itu disiasat polis.

Dalam ucapan di majlis yang dipercayai diadakan pada Jumaat lalu, Muhyiddn berkata langkah itu perlu diambil kerana pihak terbabit menyebabkan Najib terpaksa “menanggung beban.”

Rakaman ucapan itu dimuat naik di laman sosial dan tersebar di kalangan orang ramai.

zahid hamidiBerdasarkan imej dalam klip video itu, antara tokoh yang hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan

Kata Muhyiddin, beliau tidak pernah terfikir ada sebuah syarikat ditaja kerajaan boleh menanggung beban hutang sebegitu besar.

“Dan kalau syarikat itu saya punya dan saya bangun pagi ada perkara-perkara luar biasa berlaku, dengan tak semena-mena CEO (ketua pegawai eksekutif) buat hal buat pinjaman sampai RM10 bilion, lepas tu saya kena bayar interest  (bunga) RM100 hingga RM200 juta, tak pernah saya terfikir (ada) mana-mana syarikat dalam dunia tanggung  beban macam itu berlaku di Malaysia,” katanya.

Mengakui tidak takut kepada sesiapa kecuali Tuhan, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, beliau berasa bertanggungjawab dan tidak mahu lari daripada masalah.

Pecat presiden

“Saya terangkan. Saya bukan nak tunjuk kehebatan atau benci pimpinan . Saya hormat. Sebagai manusia saya hormat.

“Ini masalah nyata bagaimana tempoh begitu singkat sebuah syarikat yang ditaja (kerajaan) menanggung  beban sampai RM42 bilion. Saya tak boleh terfikir.

“Saya bagi tau PM (perdana menteri) sack all those guys in 1MDB (pecat semua orang di 1MDB). Buang mereka. Buanglah pasal mereka yang menyebabkan PM terpaksa menangung. (Tapi) tak dibuang lagi!” katanya.

Ucapan itu mendapat tepukan daripada penonton. Malah dalam klip video itu dapat didengar suara: “Sack the presiden! (Pecat presiden!).

Untuk makluman, gesaan supaya pegawai atasan 1MDB dipecat bukanlah asing. Desakan seumpama itu sudah dibuat pemimpin pembangkang sebelum ini. – Roketkini.com