Berita

Pesta kemanusiaan depan penjara sempena 100 hari Anwar

SUFI2441SUNGAI BULOH, 21 MEI: Tanpa lampu jalan, suasana di depan Penjara Sungai Buloh bagai berpesta malam tadi ketika lebih 300 orang berkumpul bersama plakad dan kain rentang, manakala pemandu pula membunyikan hon berulang kali sebagai tanda sokongan.

Semuanya kerana mengenang 100 hari Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara.

Kumpulan The BangsART yang sering dilihat di pelbagai himpunan turut mengalunkan pelbagai lagu protes rakyat, antaranya Burhanuddin Al-Helmy, dan puisi coretan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari yang dilagukan, berjudul Antinasional.

Kemeriahan itu berlangsung walaupun pihak yang berkenaan sebelumnya memadam lampu jalan di laluan masuk ke kompleks berkenaan.

SUFI2261Ketua Angkatan Muda PKR Lembah Pantai Hazrul Fahmi Ahmad memberitahu Roketkini, lampu jalan di situ dipadamkan kira-kira jam 7 petang lagi.

“Nampak sangat nak sabotaj, tapi tak berjaya,” kata Fahmi.

Biasa dengan keadaan sebegitu, Fahmi berkata, mereka memang mempunyai pelan sokongan.

SUFI2502Justeru, keadaan itu tidak menjadi halangan kerana mereka sendiri membawa peralatan yang sewajarnya, iaitu generator dan lampu limpah.

“Program tetap berlangsung dengan jaya,” katanya.

Antara pemimpin yang hadir ialah Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj, selain pemimpin PKR yang bergilir-gilir menyampaikan pidato.

SUFI2276Hadirin turut menyaksikan tayangan dokumentari khas diterbitkan syarikat penyiaran Australia Broadcasting Corporation (ABC), mengenai Anwar selepas 20 September 1998, ketika gerakan reformasi memuncak.

SUFI2597“Niat kerajaan BN mahu rakyat Malaysia melupakan Anwar. Namun mereka silap.

“Kalau dulu mereka kata gerakan Reformasi mati, namun selepas 17 tahun, lebih ramai yang menyertai,” kata anak sulung Anwar, Nurul Izzah. – Roketkini.com