Berita, Rencana

Jin dalam dunia ISMA

Mengikut percakapan sesegelintir orang tua, jin merupakan makhluk yang telah ada 2,000 tahun sebelum terciptanya manusia bernama Adam yang boleh kiranya diklasifikasikan sebagai Homo Sapiens

Dalam Islam dan mitologi Arab pra-Islam, jin adalah salah satu ras makhluk yang tidak terlihat mata dan diciptakan daripada api. Makhluk ciptaan Allah dapat dibezakan antara yang bernyawa dan tidak bernyawa. Antara makhluk yang bernyawa itu jin itulah.

Jin menurut bahasa Arab berakar dari kata ijtinan. Secara harfiahnya ia sesuatu yang berkonotasi “tersembunyi” atau “tidak terlihat”.

Para jin ini secara naturalnya memang mempunyai persamaan dengan manusia kerana mereka juga bernikah, mempunyai zuriat dan sebagainya.

tumblr_lbrsn73fVk1qam59qo1_500

(Jin, satu makhluk penting untuk ISMA?)

Tapi untuk mengatakan bahawa yang hamba Allah tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini mempunyai kemahiran dalam hal ekonomi dan politik seperti disebut oleh rencana lidah pengarang laman web Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kedengaran dungu.

Atau mungkinkah memang pertubuhan yang sering muncul dengan pandangan ekstrem itu sebenarnya mahu terus dilihat tidak cerdik?

Setahu saya dalam banyak-banyak ‘jin’, hanya ada satu ‘jin’ sepanjang sejarah tamadun dunia yang tahu sedikit tentang hal ekonomi dan politik – walaupun kemudian gagal – iaitu seseorang bernama Sima Yan yang menubuhkan Dinasti Jin di China purba.

Untuk pengetahuan penulis lidah pengarang ISMA yang menggunakan nama Kata Pedang, Sima Yan ini merupakan orang yang bertanggungjawab menyatukan kembali tiga kerajaan – iaitu Wei, Shu dan Wu – di bawah bumbung yang sama (biarpun ia dilakukan melalui peperangan).

Sila ambil maklum bahawa kenyataan ini tidak bermaksud saya bersetuju dengan perang.

sima yan

(Sima Yan peneraju Dinasti Jin)

Tapi Sima Yan hanya berjaya mereformasikan sistem kabinet kepegawaian, ketenteraan dan pemerintahan. Dia  gagal mengembangkan ekonomi berikutan terjadinya peperangan terlalu kerap dan ketidakstabilan politik yang  menyebabkan Dinasti Jin tidak dapat menerapkan kebijakan baru dengan baik.

Dinastik Jin akhirnya ditumbangkan selepas kurang dari 60 tahun pemerintahan.
ISMA dalam isu ini nampaknya cuba untuk ‘mengejinkan’ diri dengan mempertahankan salah laku kepimpinan  negara dan menghalalkan perbuatan mereka serta meletakkan kesalahan kepada jin. (Contoh: Skandal kewangan  RM42 bilion 1MDB atau misteri kedudukan tunai RM4.96 bilion di Singapura)

Isma-president-Abdullah-Zaik-Abdul-Rahman

(Presiden ISMA Abdullah Zaik)

Jadi kalau begitu, apakah ISMA ingin mengatakan bahawa jin jugalah yang jadi penyebab kematian Teoh Beng  Hock, pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kegagalan membina 96 projek sekolah agama di Johor bernilai lebih  RM319.04 juta dan ghaibnya peruntukan RM400 juta Netbook 1Malaysia kepada para guru di seluruh negara?

Atau ISMA cuba bersemiotik bahawa setiap kegagalan dalam apa jua keputusan kerajaan adalah angkara jin, sekaligus mengiyakan bahawa dalam politik bukan hanya orang boleh dibeli, tapi jin, setan, pocong, langsuir – jika ada harganya – pun kita bayar! – Roketkini.com