Berita

Nasib Sabah negeri besar ekonomi kerdil

KENINGAU, 22 MEI: Saiz negeri yang ketara berbeza tapi kadar pertumbuhan ekonomi yang sama?

‘Kebetulan’ itu nampaknya menghairankan DAP apabila realiti ekonomi negeri itu ketika ini setara dengan Perlis yang jauh lebih kecil.

about-sabah-map

(Sabah negeri besar ekonomi kecil)

Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, berdasarkan Bab 2 dokumen Rancangan  Malaysia Ke-  11 (RMK-11), Sabah hanya mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 3 peratus  sepanjang tempoh RMK-  10 (2010-2015) dan ia sama dengan Perlis.

“Bagaimana Sabah sebagai sebuah negeri yang besar dan kaya dengan pelbagai sumber semula  jadi boleh setanding dengan kadar pembangunan negeri kecil di semenanjung?

“Lihat Sarawak, negeri yang lebih besar dari segi keluasan tanah. Bagaimana mereka mencapai  4.1 peratus manakala kita tidak boleh mencapai lebih tinggi daripada 3 peratus?” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan DAP cawangan Kemabong di Pusat Khidmat Keningau.

Musa-Aman22

(RMK 11 tamparan hebat buat Ketua Menteri Musa Aman)

Kata Foong Hin, beliau amat kesal dengan prestasi memalukan itu, sedangkan Sabah dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang dianggap sebagai Bapa Pemodenan Negeri.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan RMK-11 di parlimen pagi semalam.

ADUN Sri Tanjong itu menegaskan, angka rasmi yang diberi Pejabat Perdana Menteri adalah tamparan hebat kepada kerajaan pimpinan Musa.

Justeru, beliau menggesa Musa memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Sabah kerana kegagalannya meningkatkan prestasi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita perlu bergerak ke depan dan menjadikan Sabah mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dalam tempoh RMK-11,” katanya. – Roketkini.com