Berita

DCA perlu utama keselamatan pengguna kapal terbang di Tawau

TAWAU, 23 MEI: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) perlu menjawab kebimbangan orang ramai berikutan pembatalan beberapa penerbangan dari lapangan terbang Tawau pada hari Rabu dan Khamis lalu kerana masalah peralatan pendaratan.

ADUN Sri Tanjong Chan Foong Hin berkata, peralatan sistem pendaratan bersepadu (ILS) dan alat pembolehubah julat arah (DVOR) perlu dilaras semula, namun melepasi tarikh akhir menyebabkan penerbangan pada waktu malam terpaksa dibatalkan.

Menurut Foong Hin, beliau difahamkan penerbangan malam di lapangan terbang Tawau akan digantung dua minggu akibat kerja-kerja penyelenggaraan yang dijangka siap pada 3 Jun.

Namun ujarnya, pembatalan penerbangan malam di lapangan terbang Tawau seolah-olah ditarik semula mulai 21 Mei lalu.

Ini berikutan kenyataan Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman bahawa pendaratan boleh dibuat sekiranya cuaca baik, dan ‘terpulang kepada juruterbang untuk membuat keputusan’.

“Apa sudah berlaku? Adakah DCA secara diam-diam membenarkan penerbangan malam walaupun mereka tahu pelarasan hanya dapat disiapkan pada awal Jun?

“Apakah DCA boleh menjamin keselamatan penumpang? Jika apa-apa berlaku, siapa yang akan bertanggungjawab? soal Foong Hin.

Tambah Naib Pengerusi DAP Sabah itu, syarikat penerbangan dan DCA melakukan kesalahan jika mengekalkan jadual penerbangan, meskipun mengetahui peralatan tersebut melepasi tarikh akhir pelarasan, semata-mata keuntungan dan keperluan operasi.

“Ini skandal besar terhadap industri penerbangan. Lebih teruk, mereka membenarkan jadual penerbangan diteruskan, tanpa pengumuman betul dan jaminan kepada orang ramai.

“Saya menuntut jawapan daripada DCA mengenai isu ini,” tegas Foong Hin. – Roketkini.com