Berita

Bruce Lee ‘hidup’ semula untuk beramal

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Selepas 75 tahun menghembus nafas terakhirnya, Bruce Lee kembali ‘hidup’ di beberapa lokasi di sekitar Malaysia melalui pameran yang diadakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lebih menarik, Bruce Lee ‘hidup’ untuk beramal kepada mangsa banjir di Kelantan.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata, sebanyak 49 NGO dalam Gabungan Impian Kelantan untuk membuat pameran di Kuala Lumpur, George Town, Pulau Pinang; Ipoh, Perak; Johor Bahru, Johor dan Kota Bharu Kelantan.

Kata Anthony, penganjur mengundang 126 artis dan pelukis ilustrasi dari Hong Kong, Taiwan, China, Filipina dan Malaysia dengan menyasarkan RM200,000 melalui kutipan derma dan jualan lukisan.

Siri jelajah pameran tersebut akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Jumaat, 29 Mei ini di ICT Mall, Komtar Pulau Pinang.

Pameran sama akan turut berlangsung di Ipoh (5 Jun – 8 Jun), The Mines, Kuala Lumpur (11 Jun – 16 Jun), Plaza Pelangi, Johor Bahru (19 Jun – 21 Jun) dan Kota Bharu Mall, Kota Bharu (25 Jun – 27 Jun).

Penganjur di bandar-bandar lain akan turut mengadakan beberapa aktiviti berkaitan, antaranya seminar mengenai seni mempertahankan diri Bruce Lee, manakala beberapa artis akan turut hadir pada sesi autograf untuk menandatangani karya mereka.

Pengurus projek, Dr Hew Kuan Yau yang turut memulakan inisiatif program memberitahu, selain lukisan asli dan digital, terdapat juga barangan dan karya seni halus seperti buku bergambar dan poskad untuk dijual sebagai cenderahati.

Selain itu, artis, tetamu khas, kakitangan dan sukarelawan Impian Kelantan akan menerima kemeja-T Bruce Lee edisi terhad sebagai penghargaan, dan sebahagiannya akan dijual kepada orang ramai.

“Harga setiap karya seni akan ditentukan mengikut kemasyhuran pelukis, kualiti karya seni, makna, sama ada dilukis dengan tangan atau digital dan saiz mengikut setiap lukisan.

“Kami berharap orang ramai bermurah hati dan dapat memberikan bantuan kewangan melalui cara ini kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya. – Roketkini.com