Berita

Fadillah dibidas sembunyi fakta

GEORGE TOWN, 25 MEI: Kerajaan Pulau Pinang hari ini membidas kenyataan tidak jujur Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof yang mengelirukan orang ramai melalui isu peruntukan Pusat untuk penyelenggaraan jalan di Pulau Pinang.

Tidak sekadar itu, Fadillah turut dianggap keterlaluan mendakwa kerajaan negeri hanya membelanjakan RM12.819 juta sahaja daripada peruntukan tersebut.

Datuk-Fadillah-Yusof

(5 Mei lalu, Datuk Fadillah Yusof menyerang Kerajaan Pulau Pinang, namun semuanya salah fakta!)

Menjawab kenyataan tersebut, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti Pulau Pinang Lim Hock Seng berkata kerajaan negeri hanya mendapat RM23.61 juta peruntukan yang direkod berbanding RM27.37 juta didakwa Fadillah.

Beliau turut menambah, daripada peruntukan itu, kerajaan negeri hanya membelanjakan 66.71 peratus daripadanya.

“Kerajaan Negeri melalui beberapa agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebenarnya telah membelanjakan RM15.77 juta.

“Kenyataan Menteri Kerja Raya tersebut mungkin hanya merujuk kepada JKR sahaja dan tidak menyeluruh.

“Kenyataan itu tidak memasukkan butiran peruntukan yang disalurkan agensi pelaksana lain seperti PBT dan JPS,” terang Hock Seng lagi.- Roketkini.com