Rencana

Ucapan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-11 oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng

Ucapan Parlimen Setiausaha-Agung DAP Dan Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng Dalam Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-11 Pada 25 Mei 2015

RMK-11 Gagal Untuk Mengatasi Isu Utama Keselamatan Negara, Ekonomi Negara Dan Masalah Sosial Kerana Tidak Berpaksikan Rakyat Dengan Kegagalan Memberikan Tumpuan Kepada Individu, Masyarakat Dan Institusi Perundangan.

Tuan Yang DiPertua,
Pada tahun 1991, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, telah mengemukakan satu wawasan baru untuk negara kita iaitu Wawasan 2020. Sampai hari ini, Wawasan 2020 masih menjadi petanda dalam usaha kita untuk mencapai status sebuah negara maju bukan sahaja dari segi pencapaian ekonomi sahaja tetapi merangkumi termasuk politik, sosial, kerohanian, psikologi, perpaduan nasional dan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa dan keyakinan.

Pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) pada hari Khamis yang lalu, merupakan satu peluang emas bagi Perdana Menteri, YAB Pekan, untuk mengesahkan semula komitmen beliau kepada prinsip-prinsip Wawasan 2020 dan menggariskan jalan ke arah 2020 dan seterusnya. Malangnya, peluang keemasan ini dilepaskan dengan begitu sahaja oleh YAB Perdana Menteri.

Di mananya dasar baru yang akan mewujudkan sebuah negara yang “bersatu, dengan masyarakat Malaysia yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur, dan mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang bersaing, dinamik, cergas dan kental” seperti yang digambarkan oleh Dr. Mahathir pada tahun 1991? Ini tidak ketara langsung.

RMK11 yang dibentangkan oleh YAB Pekan adalah sesuatu dokumen yang amat mengecewakan. Dengan izin, “It is totally underwhelming and a huge disappointment”. Dokumen ini tidak berasaskan realiti, tidak telus dan tidak mempunyai sebarang unsur yang boleh dikatakan sebagai pemacu perubahan ataupun “game changer”.

RMK-11 gagal untuk mengatasi isu utama keselamatan negara, ekonomi negara dan masalah sosial kerana tidak berpaksikan rakyat dengan kegagalan memberikan tumpuan kepada individu, masyarakat dan institusi perundangan.

Negara kita sedang mengalami beberapa cabaran yang amat serius di gelanggang ekonomi, sosial dan keselamatan negara. Apa yang diharapkan oleh rakyat Malaysia daripada YAB Perdana Menteri ialah untuk memberikan gambaran yang jujur dan ikhlas terhadap masalah-masalah ini dan menunjukkan cara yang terbaik dan sesuai untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.

Ambil defisit perbelanjaan sebagai satu contoh. Dengan penurunan harga minyak daripada US$ 100 setong kepada kurang daripada US$ 40 pada hujung tahun 2014 dan kira-kira daripada US$60 baru-baru ini, impak kepada pendapatan kerajaan tentunya bukan kecil. Walaupun Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa langkah-langkah mitigasi atau ‘mitigating measures’ pada bulan Januari tahun ini, pasaran dan juga rakyat jelata tidak yakin kepada langkah-langkah tersebut. Nilai matawang ringgit terus jatuh dan indeks komposit Bursa Saham Kuala Lumpur (KLCI) jatuh ke bawah tahap 1800 baru-baru ini.

royalti_minyak_Sarawak

Memandangkan realiti harga minyak yang baru, RMK11 sepatutnya menggariskan langkah-langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang untuk menangani masalah bajet dari segi perbelanjaan dan juga pendapatan kerajaan.

Tetapi RMK11 masih lagi menunjukkan sasaran kedudukan fiskal berimbang dan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDBK ataupun – “Federal Government Debt to GDP Ratio” di bawah 45% pada tahun 2020. Adakah sasaran-sasaran ini berasaskan realiti memandangkan hutang kerajaan pusat kini menjangkau RM600 bilion yang merupakan 52% KDBK? Tetapi sekiranya ditambah dengan “contingent liability” yang dianggarkan RM100 billion, maka KDBK jelas sudah melebihi tahap maksima perundangan KDBK sebanyak 55%.

Pada 17hb Mac, 2015, sebuah agensi penarafan ataupun “rating agency” – Fitch Ratings – mengumumkan kemungkinan penurunan penilaian ataupun “ratings downgrade” untuk Malaysia daripada A- kepada BBB. Sebab untuk penurunan penilaian termasuk kejatuhan harga minyak mentah, kejatuhan dalam lebihan akaun semasa dan peningkatan liabiliti luar jangka ataupun “contingent liabilities” akibat daripada hutang 1MDB.

Kini Malaysia menghadapi krisis ekonomi bila dilihat dalam nilai pasaran modal atau bursa saham dan juga nilai matawang ringgit. Sungguhpun Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan sebanyak 6% tahun lepas, sebaliknya nilai Bursa Malaysia turun 6% untuk 2014 yang merupakan prestasi yang paling buruk di Asia Tenggara. Nilai matawang ringgit pun sama jatuh menjunam, yang hanya menambah inflasi. Apa gunanya prestasi ekonomi yang menggalakkan bila pihak pelabur tersentak dengan skendal RM42 bilion 1MDB. Jelas sekali, selagi hutang 1MDB tidak boleh dikendalikan, selagi keraguan dan ketidakyakinan terhadap kedudukan fiskal kerajaan Malaysia oleh pelabur asing tidak boleh ditangani.

Pada masa yang sama, perbelanjaan pembangunan di bawah RMK11 adalah RM260 bilion untuk 5 tahun iaitu lebih kurang RM52 bilion setahun daripada 2016 hingga 2020.

Angka ini amat membimbangkan kerana ia bermakna bahawa % daripada bajet persekutuan yang diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dijangka akan kurang daripada 20% pada 2016 hingga ke 2020. Sebagai perbandingan, pada puratanya 29.5% daripada bajet diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dari 2001 hingga 2005, 23.7% dari 2006 ke 2010 dan lebih kurang 20% dari tahun 2011 hingga 2015. Dengan belanjawan masa depan yang pastinya lebih daripada RM273 bilion yang diunjurkan untuk 2015, ini bermakna bahawa peratusan bajet untuk perbelanjaan pembangunan akan merosot tahun demi tahun.

Adakah ini satu petanda bahawa kerajaan persekutuan tidak lagi mampu untuk menanggung perbelanjaan pembangunan akibat daripada kemerosotan pendapatan dan juga hutang yang telah naik mendadak? Adakah ini disebabkan oleh peningkatan “contingent liabilities” yang perlu di “bail out” oleh kerajaan persekutuan? Soalan-soalan ini patut dijawab oleh Perdana Menteri.

Kemiskinan ada di mana-mana

Pada masa yang sama, dari sesi masalah sosial, ketidaksamaan dan kemiskinan masih belum ditangani dengan baik oleh kerajaan. Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri mengumumkan bahawa kemiskinan di Malaysia hampir dibasmi oleh kerana statistik kerajaan menunjukkan kadar kemiskinan yang kurang daripada 1% pada tahun 2014. Pada masa yang sama, purata pendapatan bulan isi rumah pada tahun 2014 diumumkan sebanyak RM 6,141 untuk tahun 2014.

Tetapi apabila kita turun ke jalan raya di Kuala Lumpur dan apabila kita melawat rumah panjang dan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, kita boleh lihat dengan mata sendiri bahawa kemiskinan adalah jauh daripada dihapuskan. Apabila kita mengunjungi penduduk di kawasan perumahan di bandar, memang ketara bahawa sebahagian besar daripada kelas pertengahan mempunyai pendapatan yang kurang daripada RM6000 sebulan.

Adakah ini menunjukkan bahawa RMK11 adalah satu rancangan yang tidak berasaskan realiti kebanyakan warganegara Malaysia? Adakah ini satu rancangan yang disediakan oleh para konsultan bergaji tinggi tetapi tidak turun padang untuk mengetahui realiti sebenarnya?

Tuan Yang DiPertua,
Izinkan saya memberi contoh dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menangani cabaran ekonomi dan juga sosial.

Berbeza dengan Kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mementingkan tanggungjawab fiskal dan pengurusan kewangan yang berhemah. Sejak mengambil alih tampuk kuasa pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan pentadbiran berasaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus) yang berjaya mencatat lebihan bajet sebanyak RM452.97 juta dari tahun 2008 hingga 2013. Jumlah ini adalah melebihi jumlah lebihan terkumpul oleh Kerajaan BN selama 50 tahun sebelumnya.

Pada waktu Kerajaan Persekutuan sedang menghadapi masalah hutang dan kewangan sehingga terpaksa melaksanakan cukai GST yang amat membebankan rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya mengurangkan hutang negeri sambil meningkat pelaburan sehingga mencecah RM48 bilion dari tahun 2008 hingga 2014, berbanding dengan RM24.9 bilion oleh kerajaan terdahulu dari tahun 2001 hingga 2007.

Lebih penting lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan kembali lebihan kewangan yang diperolehi kepada rakyat kerana kami percaya bahawa tanggungjawab kerajaan adalah untuk meringankan beban dan memastikan kesejahteraan rakyatnya.

Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan perkhidmatan bas percuma yang merentasi Jambatan Pertama Pulau Pinang serta di pusat bandar George Town. Di samping itu, kami juga memulakan program-program kebajikan emas, seperti program penghargaan warga emas, ibu tunggal, suri rumah, OKU, pelajar IPTA, pelajar sekolah, nelayan dan penarik beca. Tambahan kepada itu, kami juga telah melaksanakan Agenda Ekonomi Saksama, iaitu program yang menjamin tiada isi rumah di Pulau Pinang yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM790 sebulan. Sekiranya ada keluarga yang tidak cukup pendapatannya, Kerajaan Negeri akan menambah nilai setiap bulan sehingga cukup. Untuk program-program ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM287 juta sejak tahun 2008.

Hasil daripada program-program di atas, saya dengan bangganya boleh mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya mengurangkan jurang pendapatan dengan bacaan Gini Coefficient 0.37 pada tahun 2012, berbanding 0.419 pada tahun 2009. Ini adalah jauh lebih rendah berbanding 0.401 bagi negara Malaysia pada tahun 2014.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah besar iaitu untuk mengecualikan bayaran cukai GST bagi perkhidmatan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada rakyat. Tidak seperti Terengganu yang hanya menanggung beban rakyat bagi bayaran GST hanya untuk setahun, kedua-dua PBT di Pulau Pinang akan menanggung beban rakyat bagi bayaran GST bagi setiap tahun sebanyak RM21.5 juta.

Semua kejayaan di atas adalah hasil dasar-dasar berjiwa rakyat yang mengutamakan rakyat dan bukan kroni atau kepentingan diri sendiri.

Tuan Yang Dipertua,
RMK11 juga amat mengecewakan dari segi ketelusan. Di RMK-10, perbelanjaan yang diperuntukkan kepada setiap Kementerian diterbitkan untuk pengetahuan umum. Ini membolehkan setiap Kementerian membuat rancangan dan langkah-langkah yang sesuai dengan perbelanjaan yang diperuntukkan, terutamanya dari segi perbelanjaan pembangunan.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri tidak membentangkan satu senarai yang lengkap yang menyenaraikan setiap projek yang telah diberi kelulusan di bawah RMK11 dan anggaran kos projek-projek ini. Dengan ketidakwujudan senarai sebegini, memang mustahil bagi setiap wakil rakyat untuk menjelaskan kepada pengundi-pengundi masing-masing, bagaimana RMK11 akan membawa manfaat dari segi pembangunan ke kawasan-kawasan mereka.

Masalah keselamatan negara

Apabila Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Idris Jala, sedang menekankan ketelusan ataupun transparency dalam perbelanjaan kerajaan, mengapa butir-butir yang lengkap tidak dibentangkan bersama dengan RMK11 memandangkan permintaan maklumat yang lebih komprehensif daripada rakyat dan juga pihak berkepentingan seperti kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, NGO dan para pelabur di dalam dan di luar negara?

Adakah Perdana Menteri hairan apabila bahawa pasaran bertindak secara negatif selepas pengumuman Rancangan Malaysia ke-11 di mana Kuala Lumpur Composite Index jatuh dua hari berturut-turut, pada hari Khamis dan Jumaat lalu, dan terus jatuh pada hari ini?

Tuan Yang DiPertua,
Masalah keselamatan negara juga merupakan satu isu serius yang telah diabaikan oleh RMK11. Perbelanjaan pembangunan sebanyak RM49 juta telah diperuntukkan kepada ESSCOM untuk tahun 2015. Majlis Keselamatan Negara diberikan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM31 juta untuk tahun 2015. RM6.6 juta diperuntukkan untuk membina dan menaik taraf pagar keselamatan untuk tahun 2015.

ESSCOM1

Tetapi walaupun berjuta-juta ringgit yang dibelanjakan, keselamatan sempadan negara kita di Sabah and juga di Perlis masih belum boleh dijamin. Baru-baru ini, seorang pemilik restoran makanan laut Ocean King Seafood di Sandakan diculik di hadapan pelanggannya dan di bawa ke Pulau Jolo di selatan Filipina. Beliau masih di pegangan para penculik.

Semalam, beberapa kubur besar di sempadan Perlis / Thailand telah ditemui oleh pihak polis di hutan di Padang Besar dan Wan Kelian di mana beratus-ratusan mangsa pemerdagangan manusia disyaki dikebumikan. Sebelum ini, KSU Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim, telah menafikan kewujudan kubur besar di bahagian sempadan Malaysia / Thailand.

Kedua-dua insiden ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja menghadapi satu krisis kemanusiaan yang melibatkan pelarian Rohingya dan Bangladesh, tetapi juga menghadapi satu krisis keselamatan negara yang telah berlangsung bertahun-tahun di bawah penjagaan Menteri Dalam Negeri daripada Barisan Nasional.

Ini adalah hakikat yang tidak boleh diterima langsung dan mesti dikutuk dengan sekuat mungkin.

Ia lebih membimbangkan apabila keselamatan negara tidak dimasukkan langsung dalam teras “meningkatkan kesejahteraan rakyat” walaupun isu ini perlu ditangani dengan satu rancangan yang menyeluruh dan efektif.

Dalam teras yang sama, indeks jenayah dilaporkan telah turun sebanyak 22.7% dalam tempoh 2011 ke 2014 dan jenayah jalanan telah turun sebanyak 17.6% pada tempoh masa yang sama. Apa yang tidak dilaporkan dalam RMK11 ialah hakikat bahawa jumlah pengawal keselamatan swasta ataupun “private security guards” telah melebihi jumlah anggota PDRM. Angka terkini, berdasarkan jawapan parlimen Kementerian Dalam Negeri, jumlah pengawal keselamatan swasta adalah sebanyak 173,534 berbanding dengan 141,365 anggota PDRM.

Adakah penurunan indeks keselamatan berakibat daripada mengupah pengawal keselamatan tambahan oleh orang ramai? Bolehkah jaminan diberi oleh kerajaan kepada orang ramai bahawa indeks jenayah tidak akan naik mendadak jikalau pengawal keselamatan dikurangkan? Pada pendapat saya, orang ramai tidak berkeyakinan bahawa penurunan indeks jenayah benar-benar menggambarkan realiti yang dialami oleh mereka terutamanya di kawasan perumahan di bandar-bandar. Buktinya ialah tambahan pengawal keselamatan swasta di negara yang akan terus bertambah sebagai bayangan ketidakyakinan mereka terhadap keadaan keselamatan di kawasan perumahan mereka masing-masing.

Tuan Yang Dipertua,
RMK11 digambarkan sebagai satu rancangan yang akan menyebabkan penghasilan yang luar biasa oleh kerana pengenalan enam pemacu perubahan ataupun “game-changer”. Sebagai contoh, ambil pemacu perubahan “melabur dalam bandar berdaya saing” ataupun “investing in competitive cities”. Pemacu ini menyenaraikan beberapa sasaran yang baik dan progresif seperti “pembangunan berorientasi transit bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian” dan “pihak berkuasa tempatan sebagai pemacu strategik bagi pembangunan sosioekonomi setempat”.

Adakah RMK-11 inklusif?

Tetapi apa yang langsung tidak disebutkan adalah kuasa dan pendapatan tambahan yang perlu diberikan kepada pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan mereka untuk menjadi bandar-bandar yang betul-betul berdaya saing bukan sahaja di Malaysia, tetapi di rantau Asia Tenggara dan bahkan di gelanggang antarabangsa! Georgetown di Pulau Pinang mempunyai aspirasi untuk menjadi salah sebuah bandar utama di benua Asia dan kerajaan Pulau Pinang sedang bertungkus lumus untuk membangunkan banda raya Georgetown secara lestari dan mampan. Tetapi untuk mengaturkan laluan bas yang baru pun mesti memohon lesen dan kebenaran daripada kerajaan pusat melalui SPAD. “How can our cities be empower if the federal government still holds all the power”, dengan izin? Ini adalah satu contoh sahaja. Saya akan memberi huraian yang lebih lengkap nanti.

Tuan Yang DiPertua,
Saya mengambil kesempatan ini untuk menyuarakan ketidakpuasan hati pengundi dan penduduk di Pulau Pinang terhadap RMK11. Saya rasa ia memang susah untuk menafikan bahawa Pulau Pinang telah dianaktirikan oleh RMK11.

RMK11 yang diuar-uarkan oleh Kerajaan ini diberi slogan “Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat”. Dalam prakata dokumen tersebut pula, matlamat yang tertera adalah untuk mencapai “aspirasi menjadi negara maju yang inklusif dan mampan menjelang tahun 2020”.

Apabila perkataan “inklusif” diungkapkan, ia membawa maksud bahawa apa-apa pembangunan yang dirancang akan menghasilkan manfaat yang akan dikongsi oleh semua rakyat Malaysia. Namun, adakah RMK11 ini benar-benar inklusif sebagaimana yang dijanjikan, apabila jelas terdapat wilayah-wilayah tertentu yang tidak diberi perhatian yang secukupnya?

Bagi pihak rakyat Pulau Pinang, saya ingin menzahirkan perasaan dukacita kerana negeri kami seolah-olah dipulaukan dan tidak diberi layanan yang adil dan saksama. Walaupun Perdana Menteri menjanjikan pelaburan yang paling besar dalam sejarah Malaysia dengan nilai RM260 bilion untuk menjadikan RMK11 suatu realiti, namun jelas tidak ada apa-apa yang signifikan untuk salah satu negeri utama di negara kita, iaitu Pulau Pinang.

Ambil sebagai contoh, salah satu daripada enam “pemacu perubahan” yang diutarakan oleh dokumen RMK11, iaitu “melabur dalam bandar berdaya saing”. Strategi yang dicanangkan ini adalah langkah yang bijak, kerana bandar kini memainkan peranan yang sangat penting dalam memangkin pertumbuhan negara. Sesebuah bandar yang maju bukan sekadar dapat menjana peluang pekerjaan dan perdagangan yang banyak, ia juga dapat menyambungkannya kepada kawasan pinggir bandar dan luar bandar sebagai noda aglomerasi (agglomeration node).

Menurut kajian antarabangsa seperti Bank Dunia, persaingan global untuk pelaburan dan bakat kini membabitkan bandar dan bukan lagi negeri. Oleh itu, tumpuan harus diberi kepada pembangunan dan pembaharuan bandar-bandar utama agar kita dapat menarik, melatih dan mengekalkan modal insan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan akan merangka pelan induk daya saing (competitiveness master plans) bagi empat bandar utama, iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu. Pelan induk ini akan dibangunkan berdasarkan prinsip mewujudkan kepadatan, memperluas pembangunan berorientasikan transit (transit-oriented development), mengukuhkan kluster berasaskan pengetahuan (knowledge-based clusters), meningkatkan daya huni (liveability), menggalakkan pembangunan dan amalan hijau dan memastikan inklusiviti.

Amat malang sekali, Pulau Pinang tidak termasuk dalam senarai bandar-bandar utama tersebut.

Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku, sedangkan Pulau Pinang adalah bandar paling utama di negara kita selepas Kuala Lumpur? Malah, Pulau Pinang juga diberi pengiktirafan antarabangsa sebagai bandar ke-8 paling berdaya huni di Asia, sementara Kuala Lumpur hanya menduduki kedudukan ke-10.

Populasi Pulau Pinang 1.7 juta

Oleh itu, pengecualian Pulau Pinang daripada pelan induk daya saing tidak masuk akal langsung, terutama sekali apabila kita mempertimbangkan kriteria yang digunakan, iaitu saiz penduduk, sumbangan KDNK, infrastruktur sedia ada, pemusatan institusi pengajian tinggi, kelebihan geografi serta prinsip inklusiviti serta agihan saksama.

Dari segi populasi, Pulau Pinang mempunyai hampir 1.7 juta penduduk, dan jika dikira kawasan-kawasan pinggiran yang merangkumi Greater Penang Conurbation, populasi metropolitannya adalah lebih daripada 2 juta orang. Tambahan pula, selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang mempunyai kepadatan penduduk yang paling tinggi, iaitu 1,500 orang sekilometer persegi.

Bagi kriteria KDNK pula, Pulau Pinang adalah antara yang terbesar di Malaysia. Pada tahun 2014, KDNK Pulau Pinang adalah RM71 bilion, iaitu ke-5 tertinggi selepas Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sarawak. Pencapaian itu adalah signifikan memandangkan kami juga adalah negeri kedua terkecil selepas Perlis. Oleh itu, Pulau Pinang mempunyai KNDK per kapita yang tinggi, iaitu RM46,019. Hanya Kuala Lumpur dan Sarawak mempunyai KNDK per kapita yang lebih tinggi. Ini adalah bukti bahawa Pulau Pinang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia.

Untuk kriteria infrastruktur pula, umum mengetahui bahawa Pulau Pinang merupakan hab logistik utara, di mana terletaknya pelabuhan, lapangan terbang dan stesen keretapi utama. Oleh itu, Kerajaan sepatutnya memantapkan lagi infrastruktur sedia ada untuk memangkin pertumbuhan ekonomi di seluruh wilayah utara.

pix for pulau pinang LUAR

Dari segi pemusatan institusi pengajian tinggi, Pulau Pinang juga merupakan hab pendidikan bagi semua peringkat, dari pra-sekolah sehingga ke pendidikan tertiari. Di samping 9 sekolah antarabangsa, kami juga mempunyai salah satu IPTA terunggul, iaitu Universiti Sains Malaysia, serta beberapa lagi kolej dan universiti kolej swasta. Tambahan pula, Pulau Pinang juga telah menarik minat universiti asing seperti Hull Universiti dari UK yang akan menubuhkan kampus mereka di Batu Kawan.

Bagi kriteria kelebihan geografi, adalah sukar untuk menafikan bahawa Pulau Pinang mempunyai lokasi yang sangat baik, baik dari segi air, udara atau jalanraya. Lebih daripada itu, Pulau Pinang juga merupakan noda yang menyambungkan rantau Thailand Selatan dan Indonesia Utara.

Akhir sekali, berdasarkan prinsip inklusiviti, empat bandar yang dipilih itu mewakili Sabah, Sarawak serta wilayah tengah dan selatan Semenanjung. Ini bermaksud bahawa wilayah utara Semenanjung telah dipinggirkan. Oleh itu, bagaimanakah pilihan bandar-bandar ini boleh dikatakan sejajar dengan prinsip inklusiviti?

Jelas, Pulau Pinang bukan sahaja berhak tetapi sepatutnya menjadi pilihan utama untuk program pelan induk daya saing bandar ini. Pembangunan Pulau Pinang terbukti dapat memangkinkan pertumbuhan wilayah utara secara khusus dan negara Malaysia secara amnya. Malangnya, Kerajaan BN mengambil pendekatan ibarat kerana nyamuk seekor, kelambu dibakar dengan meminggir rakyat Pulau Pinang atas dasar politik yang sempit.

Ini bukan kali pertama Pulau Pinang dianaktirikan. Saya ingin mengingatkan Dewan yang mulia ini mengenai janji-janji manis yang terkandung dalam RMK9 (2006-2010). Antaranya, projek monorel RM2 bilion telah diumumkan untuk menaiktaraf pengangkutan awm di Pulau Pinang. Malah, tender projek tersebut telah pun dijalankan dan dianugerahkan. Namun, setelah BN tewas di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum 2008, dengan tiba-tiba projek tersebut telah dihentikan semasa kajian separuh penggal (mid-term review). Nasib yang sama juga menimpa projek Penang Outer Ring Road (PORR) yang bernilai RM1.5 bilion.

Seperti biasa, Kerajaan BN selalu meletakkan kepentingan politik sebelum kepentingan rakyat. Namun demikian, Kerajaan PR Pulau Pinang tidak hanya duduk berdiam. Walaupun tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak, kami telah bertekad untuk menyelesaikan masalah lalulintas yang sekian lama ini menghantui rakyat Pulau Pinang.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang bernilai RM27 bilion. Kini dalam peringkat tender untuk Project Delivery Partner (PDP), projek adalah pelan bersepadu berdasarkan kajian menyeluruh yang dimulakan pada tahun 2011 dan merangkumi pembinaan lebuhraya-lebuhraya baru, LRT, Trem, sistem bas baru, pengangkutan air, serta terowong bawah dasar laut pertama di rantau Asia Tenggara.

Matlamat projek ini adalah untuk mengintegrasikan sistem pengangkutan dengan pelan pembangunan agar rakyat dapat digerakkan dari rumah mereka ke tempat kerja atau pusat komersil dengan mudah tanpa kesesakan lalulintas. Meskipun tidak menerima sebarang bantuan Kerajaan Persekutuan dan dianaktirikan atas sebab politik, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus berusaha untuk membangunkan daya huni negeri kami agar dapat memangkin pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Tuan Yang Dipertua,
Akhir kata, peluang emas yang diberikan kepada Perdana Menteri untuk membentangkan RMK11 yang betul-betul merupakan ‘game-changer’ telah dilepaskan begitu sahaja. Tidaklah hairan jikalau pemimpin-pemimpin BN terutamanya pucuk pimpinan UMNO akan mengambil kesempatan untuk melepaskan YAB Perdana Menteri daripada jawatan beliau akibat daripada kepimpinan yang boleh disifatkan sebagai lemah, tidak berhala dan tidak berwibawa. – Roketkini.com