Berita

Deloitte jadi bahan ketawa komuniti antarabangsa

PETALING JAYA, 26 MEI: Pengauditan firma Deloitte Malaysia menimbulkan tanda tanya sekali gus rasa ‘lucu’ apabila akaun 1MDB ditutup tanpa penjelasan yang sepatutnya mengenai kedudukan kewangan syarikat tajaan kerajaan itu.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua keputusan Deloitte mengaudit 1MDB terus-menerus dipersoalkan komuniti kewangan antarabangsa.

“Piawaian pengauditan Deloitte telah banyak dipersoalkan sejak enam bulan lepas kerana 1MDB diketahui bergelut untuk membayar hutang matang dan faedah perkhidmatannya,” kata Tony.

Kata Tony, tanda tanya lebih mendesak apabila seorang pegawai, Ng Yee Hong yang merupakan rakan kerjasama Deloitte boleh menandatangani akaun untuk Mac 2014 pada 5 November 2015 tanpa sebarang kelayakan sedangkan 1MDB daripada semua segi boleh dianggap muflis.

arul_1mdbTony menambah Deloitte menutup mata terhadap banyak transaksi yang melibatkan berbilion ringgit dana kerajaan sehingga kerugian besar terpaksa ditanggung pembayar cukai.

Justeru, ujar Tony, Deloitte tidak seharusnya mengorbankan reputasi antarabangsanya dengan menjadi perisai perdana menteri dan Lembaga Pengarah 1MDB dalam penyalahgunaan kuasa.

“Nama Deloitte tercemar penuh lumpur, menjadikan ia jenaka komuniti kewangan.

“Sebagai sebuah firma audit dan perakaunan antarabangsa yang dikatakan ada reputasi baik, ia mesti bersih dan melindungi imej kebebasan juruaudit dan mematuhi piawaian etika dalam menjalankan tanggungjawab profesional mereka,” jelas Tony lagi.