Berita

Kemiskinan: Kerajaan tidak berpijak di bumi nyata

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Walaupun kerajaan bertegas mendakwa masalah kemiskinan di Malaysia hampir dibasmi, realiti menunjukkan sebaliknya.

Hal ini, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dapat dilihat jika seseorang melawat sendiri ke kawasan masyarakat biasa, termasuk di Kuala Lumpur.

Berucap ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di parlimen semalam Guan Eng berkata, ketidaksamaan dan kemiskinan masih belum ditangani dengan baik oleh kerajaan.

Walaupun menteri menunjukkan kadar kemiskinan kurang daripada 1% pada 2014 dengan purata pendapatan bulan isi rumah ialah RM6,141.

“Tetapi apabila kita turun ke jalan raya di Kuala Lumpur dan melawat rumah panjang atau kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, kita boleh lihat dengan mata sendiri, kemiskinan masih jauh untuk dihapuskan.

“Apabila kita mengunjungi penduduk di kawasan perumahan di bandar, memang ketara sebahagian besar daripada kelas pertengahan mempunyai pendapatan yang kurang daripada RM6,000 sebulan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu juga bertanya, adakah itu menunjukkan RMK-11 adalah kerajaan melaksanakan rancangan yang tidak berasaskan kepada realiti kebanyakan warganegara Malaysia.

“Adakah ini satu rancangan disediakan para konsultan bergaji tinggi tetapi tidak turun padang untuk mengetahui realiti sebenarnya?” tanyanya.

Sila layarai pautan ini untuk membaca teks penuh ucapan Guan Eng. – Roketkini.com