Berita

Misteri RM3.8 bilion dana SRC di Mongolia

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Kerajaan perlu mendedahkan penggunaan wang RM3.81 bilion yang dilabur SRC International Sdn Bhd (SRC) dalam syarikat tenaga di Mongolia, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Menurut jawapan Kementerian Kewangan 20 Mei lalu, jumlah pelaburan SRC Interntional Sdn Bhd dalam syarikat Gobi Coal & Energy Ltd (GCE) adalah sebanyak AS$60 juta, mewakili 9% pegangan saham dalam GCE.

“Seperti ditekankan dalam kenyataan saya bulan lalu, syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham London, Origo Partners Limited memiliki 14% pegangan dalam GCE dengan nilai AS$ 13.4 juta sehingga Jun 2014.

“Bermakna 9% kepentingan SRC International dalam GCE pada hari ini hanya bernilai AS$ 8.6 juta (RM31 juta), menurun 85.6% dalam nilai pelaburan.

“Ini merupakan kerugian sebanyak AS$ 51.4 juta (RM185 juta),” kata Tony.

Tambahnya, Menteri Kewangan sebelum ini memberi gambaran bahawa sejumlah besar pelaburan-pelaburan SRC ditempatkan dalam GCE.

Sedangkan pelaburan AS$ 60 juta (RM216 juta) GCE hanya sebahagian kecil daripada RM4 bilion pinjaman Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

Namun, , jawapan kerajaan menimbulkan satu lagi persoalan penting, kerana RM31 juta pelaburan GCE itu hari ini hanya 0.8% daripada keseluruhan RM3.81 bilion ‘portfolio pelaburan luar Malaysia’.

“Persoalannya, mana baki dana RM3.81bilion SRC International? soal Tony.

Ujarnya, selain isu kehilangan ‘aset tahap 3’ bernilai RM13.4 bilion dari syarikat induk SRC International, iaitu 1MDB, rakyat Malaysia ingin tahu ke mana RM3.81 bilion pelaburan tersebut.

“Kementerian Kewangan perlu segera mendedahkan ‘pelaburan’ RM3.81 bilion itu bagi membuktikan kerajaan tidak menyembunyikan satu lagi skandal berbilion ringgit,” ujar Tony. – Roketkini.com