Berita

Pulau Pinang terus jadi anak tiri di mata Pusat

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Untuk kesekian kalinya, Pulau Pinang terus dianaktirikan selepas kerajaan mengungkapkan janji manis dalam Rancangan Malaysia Kesembilan lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata antara janji pernah dibuat kerajaan Pusat untuk negeri itu ialah pembinaan projek monorel bernilai RM2 bilion sebagai langkah menaik taraf sistem pengangkutan.

Selepas tender projek itu dikeluarkan – dan dianugerahkan – ia tergantung apabila BN tewas dalam pilihan raya umum 2008 melalui kajian separuh penggal.

“Nasib yang sama juga menimpa projek Penang Outer Ring Road (Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang) yang bernilai RM1.5 bilion,” kata Guan Eng.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap membahaskan pelan Rancangan Malaysia Ke-11 di parlimen semalam.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kerajaan BN sering meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat.

Namun demikian, katanya, kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tidak hanya duduk berdiam diri.

Walaupun tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak, katanya, kerajaan negeri telah bertekad untuk menyelesaikan masalah lalu lintas yang sekian lama ini menghantui rakyat Pulau Pinang.

Baca kenyataan penuh Guan Eng di sini. – Roketkini.com