Berita, Rencana

Rasuah punca pertumbuhan ekonomi Sabah lembab

Dari Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) hingga RMK-10, Sabah antara negeri yang paling banyak mendapat peruntukan pembangunan infrastruktur iaitu sebanyak RM11.115 bilion. Pun begitu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pertumbuhan hanya 3 % ketika  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan RMK-11.

Ia bukanlah satu angka yang membanggakan kerana Sabah terkebelakang 50% daripada purata kadar pertumbuhan nasional iaitu sebanyak 6% dan  memerlukan tempoh sekitar 10 hingga 20 tahun untuk pulih.

jimmy wongJusteru, persoalannya adakah peruntukan bagi projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia dapat dilaksanakan dengan baik kerana realitinya, Sabah terus tercicir dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas malahan masih ada projek RMK yang tidak direalisasikan.

Antara projek pembangunan yang terus menjadi tanda tanya iaitu projek lebuhraya pantai di Tawau, Lebuh Raya Pan-Borneo, projek empangan Cinta Mata dan sekolah terbengkalai Sekolah Menengah Kebangsaan Titingan 2 di Tawau.

Pertumbuhan ekonomi Sabah tidak berkembang meskipun kerajaan memperuntukan sejumlah wang yang besar disebabkan pengurusan yang lemah dan rasuah. Gejala rasuah yang luar biasa mengakibatkan pertumbuhan ekonomi Sabah tidak mampu berkembang dan membantutkan usaha pembangunan.

SPRM perlu bertindak adil dan professional terhadap semua pihak. Baru-baru ini SPRM Berjaya mengesan dan menumpaskan sindiket pembalakan haram dengan menyita sebanyak 1,785 batang kayu balak bernilai RM1 juta di Sarawak dalam operasi “Ops Gergaji”.

Kelewatan menaikkan kos

Mereka juga bertindak membekukan akaun berjumlah RM700 juta. Tindakan berani SPRM itu perlu juga dilakukan di Sabah.

Bagi Sabah, banyak aduan kelewatan dalam memberikan kelulusan sesebuah projek pembangunan seperti perumahan. Apabila berlaku kelewatan, ia menyebabkan kenaikan kos.

Menurut Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (SHAREDA)kelewatan kelulusan ini menyebabkan kos rumah meningkat 10% kerana pihak pemaju terpaksa menangung kos operasi yang besar. Ia memberi beban kos terhadap pemaju mahu pun pembeli.

impian sabahJika kini, kelulusan pasport antarabangsa mengambil masa yang pendek, dari setahun kepada satu jam, mengapa kelulusan pembangunan pula sebaliknya.

Dari setahun, terdapat kelulusan pembangunan yang terpaksa menunggu sehingga lima tahun. Aduan ini banyak diterima dari kalangan pemaju-pemaju, dan ada antara mereka pemaju dari semenanjung. Mereka tidak berani membuat aduan kerana khuatir mendatangkan kesan yang lebih negatif kepada perniagaan mereka.

Saya mencadangakan kepada kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya menyediakan one stop centre dan menyediakan sebuah time-frame kelulusan projek pembangunan sekurang-kurangnya setahun.

Gara-gara rasuah dari atas hingga bawah, rakyat yang terpaksa menanggung beban kenaikan kos.

Untuk menyelesaikan masalah ini, SPRM perlu bertindak tegas menyiasat tidak kira ‘ikan bilis’ atau pun ‘jerung’. Dengan demikian, pembangunan Sabah akan dapat berlangsung dengan baik dan berkesan.

Jimmy Wong adalah Ahli Parlimen Kota Kinabalu, merangkap Pengerusi DAP Sabah