Berita

Aset Level 3 di 1MDB tu apa, Deloitte?

Oleh Zahid M Naser (Gambar: Ahmad Yusufi)

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Perkataan “Level 3” yang menjelaskan aset milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menambah misteri syarikat yang dibebani masalah itu.

Ketika membuat aduan kepada Institut Akauntan Malaysia (MIA) di Brickfields hari ini, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menyenaraikan empat isu yang dirasakan sangat penting disiasat.

Satu daripadanya ialah pernyataan firma pengauditan Deloitte mengenai aset 1MDB yang hanya dirujuk sebagai “Level 3”.

Tony berkata aset ‘Level 3’ 1MDB itu tidak dijelaskan lebih lanjut dalam laporan berkenaan.

Sebaliknya, kata Tony, Deloitte mendefinisikannya sebagai “aset-aset yang nilainya tidak berdasarkan pemerhatian data pasaran”.

Sebelum itu Tony menyerahkan aduan rasmi mengenai firma Deloitte kepada MIA.

Tidak hanya itu, kata Tony, Deloitte turut dilihat cuba menutup maklumat “aset Level 3” itu dengan menyatakan berpuas hati bahawa bukti-bukti kewangan 1MDB cukup jelas.

“Dua minggu lalu media melaporkan, Najib kata semua OK sebab diaudit oleh Deloitte yang ada reputasi baik di peringkat antarabangsa.

“Maka, hari ini saya cabar kenyataan Najib itu dengan menyerahkan senarai semua rungutan dan dakwaan terhadap Deloitte kerana gagal menjalankan pengauditan secara telus dan beretika,” jelas Tony kepada pemberita.

Tunggu keputusan nanti

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menambah, laporan terhadap Deloitte itu dibuat kerana gagal berperanan dalam menjelaskan beberapa audit aliran tunai 1MDB selain tiada profesionalisme dalam meluluskan akaun meragukan.

Ini kerana menurutnya dalam Piawaian Perakaunan Antarabangsa 240 yang dirujuk MIA, setiap pengaudit mestilah mempunyai tanggungjawab profesional untuk bersikap hati-hati dan mempertanya pihak kewangan syarikat dalam aktiviti pengauditan.

1mdb“Kita harap dengan meneliti semua rungutan ini, MIA akan menjalankan proses siasatan dalaman terhadap Deloitte dan rakan auditnya Ng Yee Hong.

“Kita tunggu apa keputusannya nanti,” katanya.

Turut diadukan ialah “kegagalan” Deloitte menjalankan siasatan aliran tunai dan kecairan risiko 1MDB.

Kata Tony, Deloitte menganggap 1MDB tidak bermasalah walaupun syarikat itu berdepan krisis kecairan, dibuktikan dengan kegagalan mereka membayar hutang bernilai RM2 bilion.

Isu ketiga yang dibangkitkan Tony ialah kegagalan Deloitte melaporkan transaksi mencurigakan oleh 1MDB dan memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

Keempat, Deloitte gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai juruaudit bebas luar pada 2013 dan 2014 sehingga menyebabkan 1MDB mengalami tanggungan beban hutang sebanyak RM41.9 bilion.

“Syarikat itu tidak mampu waluapun untuk membayar bunga pinjamannya,” kata Tony. – Roketkini.com