Berita, Isu Semasa

1MDB terlibat ubah wang haram atau mahu tipu?

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Kemelut 1MDB bukan saja merimaskan pembangkang, malah bekas Perdana Menteri Malaysia sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Untuk kesekian kalinya, Dr Mahathir mempertikaikan syarikat kerajaan itu hari ini.

caymanMelalui blognya, beliau mengemukakan dua kemungkinan mengenai pengurusan wang 1MDB dari Pulau Cayman ke Singapura, iaitu risiko berlaku aktiviti penggubahan wang haram atau cubaan sengaja menipu pihak berkuasa di negara berkenaan.

“Soalnya apakah 1MDB dengan pengetahuan penasihatnya terlibat dengan money laundering (pengubahan wang haram), sehingga wang dari Pulau Cayman terpaksa disimpan di Singapura,” kata Mahathir.

Menteri bersalah bohong

Bekas Presiden UMNO itu juga mengecam tindakan Najib yang menipu rakyat tentang kewujudan wang ini, walhal wang tersebut sebenarnya tidak ada.

“Atau apakah tujuan sebenar ialah untuk membohong berkenaan penyimpanan wang ini di Singapura, iaitu sebenarnya tidak ada wang yang disimpan di sana, bahawa wang sebanyak lebih AS$1 bilion sudah hilang.

“Jika tidak dapat dibuktikan wang ini ada di Singapura, maka sekali lagi, pegawai dan menteri bersalah kerana berbohong,” tegas beliau.

Pada 20 Mei lalu, Najib mengaku bahawa wang 1MDB yang dibawa pulang dari Pulau Cayman tidak disimpan di Singapura.

Dalam jawapannya kepada soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua di Dewan Rakyat, Najib yang juga menteri kewangan mendakwa baki pelaburan yang telah ditebus 1MDB adalah dalam bentuk aset dan bukannya tunai.

Kenyataan itu bercanggah dalam jawapan bertulisnya pada 20 Mac lalu bahawa sejumlah wang AS$1.103 bilion dari Pulau Cayman sudah ditebus dalam bentuk tunai dan disimpan di Singapura.  – Roketkini.com