Budaya, Isu Semasa, Rencana

Melawan salah faham jihad: Menolak Arab bulat-bulat

Banyak kumpulan menggunakan perkataan jihad dalam kosa kata perjuangan mereka. Lebih-lebih dari golongan yang menggunakan Islam sebagai motivasi perjuangan. Baik gerakan-gerakan moden yang menggunakan jalan politik kepartian ataupun kumpulan pengganas militan bersenjata.

Di Asia Barat, wujud gerakan politikal Islam prodemokrasi seperti Ikhwanul Muslimin, Hamas, Jihad Islami dan El-Nahdah. Jika pergi ke tengah sedikit di Asia Timur, kita akan temui Jami’at Islami, dan akhirnya di nusantara yang tumbuh pelbagai kumpulan Hizbul Muslimin, Masyumi, PAS dan pelbagai lagi.

DSC00562

Sementara untuk golongan militan atau bersenjata pula kita tidak akan lupa akan al-Qaeda, Taliban, Negara Islam (Da’iesh) dan macam-macam lagi. Mereka tidak seperti golongan pertama yang menggunakan demokrasi sebagai jalan perjuangan, sebaliknya lebih senang mengangkat senjata demi mencapai cita-cita politik.

Di sebalik perbezaan itu, kedua-dua pihak bertemu di satu titik persamaan. Mereka menggunakan konsep jihad apabila langkah politik mereka dianggap jihad di jalan Allah. Al-Quran dan Hadith mengenai jihad diolah untuk menjustifikasikan bahawa mereka benar-benar meniti jalan tuhan untuk ke syurga.

Penyempitan makna jihad

Namun, hakikatnya perkataan jihad itu kini telah diperkosa dengan makna songsang. Bermula dari interpretasi golongan politikus Islamis, ia kemudian berevolusi menjadi alat permusuhan. Dengan makna yang ‘baru’, jihad dikonotasi kepada perlawanan dengan “orang kafir”. Istilah “orang kafir” itu pula dispesifikkan kepada pihak yang tidak bersama dengan kumpulan mereka.

DSC00568 Mana-mana pihak yang enggan bersama, dianggap tidak Islam sepenuhnya pada. Untuk menguatkan hujah, mereka  mencari dalil untuk itu menggunakan ayat al-Quran dengan mentafsirnya di luar konteks.

Akhirnya, wacana moden atau pra dan pascakolonial tentang nasionalisme, liberalisme, teori kelas  dibakulsampahkan. Pada mereka perdebatan adalah amalan kufur. Dan siapa yang terjerumus di dalamnya tidak  benar-benar Islam, atau jatuh kafir.

Maka tidak hairanlah satu ketika dulu(1970-an dan 1980-an), fenomena kafir-mengkafir berlaku dengan begitu  dahsyat. Di Malaysia saja ia mewujudkan perkelahian politik yang masih bercambah sehingga sekarang.

Masakan tidak, masjid dan surau dibahagikan mengikut asas kepartian. Dan di timur tengah, keadaan jauh lebih  dahsyat sehingga terjadi pembunuhan dan perang tidak berkesudahan.

Semuanya dilakukan atas nama jihad.

 

Jihad Madani

Dalam tulisan sarjana lampau, jihad banyak ditekankan kepada aspek peperangan. Itu biasa saja jika kita lihat latar sejarah ketika itu. Pada zaman khalifah Islam, mereka banyak menumpukan perhatian terhadap peperangan kerana di waktu itu, peperangan sudah menjadi asam garam politik.

Politik boleh saja dianggap pada waktu itu sebagai peperangan kuasa politik wilayah.

DSC00566 Jika kita melihat realiti hari ini, zaman peperangan berakhir. Ya, mungkin ada perang meletus di  beberapa tanah di seluruh dunia, namun itu tidak menunjukkan apa-apa apabila kita melihat tanah  air kita. Jihad baru harus difikirkan dengan baik. Ia bukan tentang ketenteraan dan penegakan  teokrasi dalam bernegara. Lebih-lebih lagi di negara Malaysia yang kita sama-sama cintai ini.

Negara ini yang sudah 58 tahun merdeka mempunyai jamak budaya tersendiri. Kerencaman kaum  dan adat di Malaysia melahirkan warga yang sarat dengan identiti unik. Dibandingkan rantau kita  dengan rantau Asia Barat, kita lebih ke hadapan.

Ini jelas menunjukkan Malaysia mempunyai ciri tersendiri. Islam di sini sepatutnya berasimilasi  dengan budaya kepelbagaian ini. Fekah juga harus diolah dengan melihat unsur ini. Tidak  seharusnya apa yang wujud di rantau Arab diambil bulat-bulat.

Jika negara Arab mahu peperangan, kita wajar bersikap antipeperangan. Jika Arab mahukan hudud – seperti Arab Saudi yang menzalimi rakyatnya dan mengecualikan raja-raja, kita perlu menjunjung keadilan dalam semua undang-undang.

Keobsesan kita terhadap apa yang ada di rantau Arab boleh menjatuhkan apa yang kita bina di Malaysia selama ini.

Usaha dan cabaran inilah jihad. Malah, ini jihad semua rakyat. Dalam bahasa mudahnya ‘Jihad Madani’ atau perjuangan sivil yang dahagakan keadilan, ketelusan, antirasuah, dan anti apa-apa ekstrem dalam berfahaman.