Berita

Menteri: Hudud PAS mesti patuh perlembagaan

KUALA LUMPUR. 28 MEI: Cubaan Kelantan mendapatkan kelulusan undang-undang hudud melalui parlimen nampaknya tidak semudah yang dibayangkan parti itu selama ini.

Walaupun sebelum ini PAS dikatakan berbincang dengan kerajaan, parlimen hari ini diberitahu, rang undang-undang itu mestilah tidak bercanggah dengan perlembagaan.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, mana-mana negeri yang ingin melaksanakan hukuman syariah, ia mesti diteliti supaya pelaksanaannya selaras dengan perlembagaan negara.

“Ia bagi memastikan keadilan dan keharmonian negara terperlihara,” katanya.

Ng Weng Aik

Ng Weng Aik

Dalam soalannya, Ng bertanya mengenai pendirian kerajaan terhadap enakmen hudud Kelantan yang mahu meminda Akta Mahkamah Syariah.

PAS bercadang mengemukakan rang undang-undang hudud melalui usul persendirian yang cuba dibawa presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Banyak pihak mempersoalkan kewajaran tindakan PAS sehingga ia menggugat persefahaman dalam Pakatan Rakyat.

Sebahagian pemimpin PAS bertegas untuk meneruskan rancangan mereka. Bagaimanapun usaha itu setakat ini belum menampakkan sebarang hasil.

Sebelum ini dilaporkan kerajaan Pusat dan Kelantan mengadakan perbincangan melalui jawatankuasa khas bagi mengkaji pindaan berkenaan.

Kata Jamil, kerajaan mengambil maklum cadangan Abdul Hadi itu pada sesi parlimen lalu. – Roketkini.com