KUALA LUMPUR, 29 MEI: Dalam kesibukan kerajaan bergulat dengan perkara remeh temeh, sehingga kini masih ramai penduduk yang terpaksa tinggal dalam khemah di Gua Musang akibat banjir Disember lalu.
Perkara itu dinyatakan Koordinator Impian Kelantan Young Syefura Othman selepas meninjau kawasan sekitar dalam misi bantuan banjirnya baru-baru ini.
“Kalau di bandar Gua Musang masih banyak lagi yang tinggal dalam khemah,” katanya kepada Roketkini.com
Selepas banjir besar yang berlaku Disember tahun lalu, ratusan mangsa banjir masih tinggal dalam khemah ketika Ramadan akan datang menjengah beberapa minggu saja lagi.
Dilaporkan, di Bandar Gua Musang, ada hampir 60 keluarga masih menghuni khemah sumbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan saban hari terpaksa menghadapi cuaca yang tidak menentu, dengan harapan ia akan berakhir segera.
Di Dabong juga masih ramai yang tinggal dalam khemah di pusat pemindahan kecil.
Sementara itu menurut Syefura, setakat ini DAP bersama pasukan Impian Kelantan berjaya disiapkan pada misi bantuan pada 22 hingga 24 Mei baru-baru ini.
Katanya, 15 buah sudah siap dibaiki, manakala 13 lagi sudah siap dibina baru.
Syefura menyatakan, data terkini adalah 25 buah dibina baru, 9 buah sedang dibaiki, 10 buah sedang dibina baru, 11 buah menunggu dibaiki dan 1 buah menunggu dibina baru.
Pada 25 Mei lalu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke turut mengumumkan kutipan tabung Impian Kelantan setakat 30 April berjumlah RM950,000.
Ketika DAP begitu giat membantu mangsa membina rumah dan sebagainya, Exco kerajaan negeri Kelantan yang diuar-uarkan adil serta menjunjung tinggi prinsip Islam, Datuk Abdul Fattah Mahmood memilih untuk menuding jari kepada kerajaan Persekutuan bagi menjawab kemelut dialami mangsa banjir.
“Isu sebenar ialah, masalah pemberian tender yang tidak selesai. Kami cadangkan kerajaan persekutuan permudahkan perkara ini,” kata beliau.
Sementara itu di dunia maya, gambar mangsa banjir yang belum mendapat rumah terus tersebar dari semasa ke semasa.
Hari ini seorang pengguna Facebook memuat naik gambar yang didakwanya “terbaru” menunjukkan keadaan di Gua Musang.
Salah satu gambar itu menyatakan khemah berkenaan terletak tidak jauh dari deretan rumah teres kawasan perumahan di Gua Musang. – Roketkini.com