Berita, Isu Semasa

Nie Ching: Utamakan tadbir urus baik, bukan GST

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) nampaknya tidak akan ke mana jika kerajaan tidak mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang melakukan kesalahan tadbir urus, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

“Melihat tindakan yang diambil kerajaan terhadap kesalahan penjawat awam tidak dipandang serius maka tidak hairanlah rasuah dan kesalahan penjawat awam terus berlaku saban tahun.teo nie ching

“Akhirnya hasil GST akan digunakan untuk membeli jet baru ataupun dibazir secara sia-sia saja,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012, Malaysia telah mengalami kerugian sebanyak RM6.5 bilion bagi kesalahan tadbir urus penjawat awam.

Namun kata Nie Ching, walaupun 339 orang pegawai telah dikenakan prosiding tatatertib, tapi hanya 132 orang bersamaan 39 peratus yang dikenakan hukuman tatatertib dan 203 orang (60 peratus) lagi dibebaskan.

Jelas beliau, daripada 132 orang, seorang telah dipecat, 3 orang dikenakan pemotongan gaji, 65 orang diberikan amaran dan selebihnya dikenakan tindakan lain.

Tambah Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu, meskipun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah ditubuhkan bagi memantau segala perbelanjaan negara, namun peranannya masih lagi terbatas.

“Dilaporkan Putrajaya atau Kementerian Kewangan tidak pernah menghantar satu laporan pun tindakan susulan yang telah diambil hasil cadangan daripada PAC,” ujarnya. – Roketkini.com