Berita, Isu Semasa

Operasi ala samseng ESSCOM

KOTA KINABALU, 30 MEI: Salah guna kuasa, tindakan tidak profesional dan operasi ala samseng semasa memburu pendatang asing tanpa izin di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) antara punca penduduk negeri itu sukar bekerjasama dengan pihak Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM)

ADUN Sri Tanjong Chan Foong Hin berkata, beliau menerima aduan pelbagai pihak berhubung perkara itu, dan kesal apabila Komander ESSCOM DCP Datuk Abd Rashid Harun menafikan tindakan anggotanya.

Menurut Foong Hin, operasi pasukan ESSCOM sebelum ini turut merosakkan harta benda perseorangan seperti memecahkan pintu semata-mata untuk menjalankan pemeriksaan.

Chan-Foong-Hin

“Dalam satu operasi pada awal pagi, mangga pada pintu premis rosak, Apabila  pemilik premis menyedari hal tersebut, mereka tidak tahu untuk mengadu  kepada siapa.

“Persoalannya, adakah ESSCOM mempunyai kuasa mutlak menggeledah  premis? Adakah pasukan ESSCOM mempunyai waran sebelum menjalankan  operasi?” soal Foong Hin.

Difahamkan Rashid sebelum ini menafikan kenyataan Presiden Dewan  Perniagaan Cina Tawau Lo Su Fui yang mendakwa penguatkuasa ESSCOM  bertindak seperti samseng semasa operasi memburu pendatang haram di  ESSZONE.

Ujar Foong Hin, masyarakat perniagaan tidak mempunyai kepentingan politik dan motif untuk menjatuhkan imej ESSCOM, namun terpaksa membuat kenyataan terbuka terhadap sikap dan tindakan ESSCOM.

“Mesti ada yang tidak kena. Apa yang dikatakan oleh Lo haruslah dikaji dan diambil tindakan, bukan terus menafikannya. Suara rakyat haruslah didengar.

“Antara sebab mengapa rakyat tidak mahu mengadu kepada pihak ESSCOM ialah sikap agensi tersebut yang dilihat hanya mahu menjaga nama dan kepentingan sendiri,” ujar Foong Hin.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong mendedahkan bahawa ada di kalangan pegawai ESSCOM yang dipercayai tidak menjalankan tugas mengawal perairan negara, malah ponteng kerja dengan bermain golf, berjudi dan menjalankan operasi di rumah urut.

Malah, berdasarkan aduan orang ramai, ESSCOM dituduh menerima rasuah daripada pekerja asing, majikan dan keluarga sehingga terpaksa membayar sebanyak RM500 hingga RM1,000 untuk membebaskan mereka yang ditahan.

“Persoalannya, adakah ESSCOM menjalankan risikan sebelum membuat operasi?

“Adakah ESSCOM perlu menahan sesiapa yang disyaki terlebih dahulu, meskipun orang-orang yang ditahan mempunyai dokumen kerja yang sah?

“Kami menolak sekeras-kerasnya operasi semberono sedemikian,” kata Foong Hin. – Roketkini.com