Berita, Isu Semasa

Penstrukturan semula ‘cabut nyawa’ pekerja MAS

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Penstrukturan semula syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan ‘mencabut nyawa’ 20,000 kakitangan syarikat penerbangan itu, kata Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.vsivakumar

Katanya, langkah kerajaan    mewujudkan  pengurusan baru, iaitu  MAS Berhad adalah  penganiayaan,  licik dan bermotif jahat  kerana  pekerja MAS tidak dapat dibela.

“Lebih kurang 8,000 pekerja MAS  akan  hilang pekerjaan. Kesemua 20,000 pekerja MAS akan dikeluarkan surat dibuang kerja dalam beberapa hari lagi.

“Dikatakan dua pertiga daripada tenaga kerja akan diambil semula di bawah MAS Berhad. Tindakan ini tidak adil kepada semua pekerja kerana menjejaskan kebajikan mereka.

“Mereka yang diambil semula pula akan hilang kekananan dalam jawatan kerana terpaksa menandatangani kontrak baru di bawah majikan baru, MAS Berhad,” kata Sivakuma.

MAS sebelum ini dilaporkan akan mengeluarkan surat penamatan tugas atau penggajian semula kepada antara 6,000 hingga 8,000 orang daripada 20,000 orang yang diberhentikan.

Ia adalah sebahagian langkah pemulihan dengan menjadikan MAS syarikat penerbangan serantau lebih kecil, manakala penggajian semula menawarkan kekosongan hanya kepada 6,000 hingga 8,000 orang dengan syarat-syarat baru.

Tambah Sivakumar, penstrukturan semula organisasi MAS melibatkan RM6 bilion bukan sahaja menjejaskan kebajikan kakitangan malah akan menyebabkan kesatuan sekerjanya terbubar.

Sivakumar turut bimbang pengurusan baru MAS Berhad melalui penubuhan kesatuan kerja yang baru, akan dilihat lebih mesra majikan dan tidak dapat menjaga kebajikan pekerja secara keseluruhannya.

Semalam, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) menggesa Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) memanggil lembaga pengarah MAS bagi menjawab tuduhan pembaziran yang dibuat ketua pegawai eksekutif (CEO) barunya, Christoph Mueller.

Gesaan tersebut dibuat selepas Mueller mendedahkan pembaziran MAS yang berpunca antaranya daripada 180 jenis elaun, sehingga syarikat itu menanggung kerugian.

Presiden NUFAM Ismail Nasaruddin dilaporkan berkata, tidak adil pekerja MAS yang tidak bersalah perlu ‘membayar’ melalui penamatan perkhidmatan, akibat keputusan terdahulu yang dilakukan pihak lain. – Roketkini.com