Berita

JPN perlu kurang kerenah birokrasi

BATU GAJAH, 31 MEI: Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) diminta mengurangkan kerenah dalam proses memberi kewarganegaraan.

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar memetik sumber JPN bahawa sehingga Jun 2014, kira-kira 2,700 permohonan tertangguh.

Ujarnya, kebanyakan permohonan dibuat bagi pihak anak pendaftar di bawah perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan, yang mana salah seorang dari ibu atau bapa merupakan warganegara Malaysia.

Pemberian taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) adalah hak eksklusif kerajaan Persekutuan, namun tidak boleh dikeluarkan secara sewenang-wenangnya.

Katanya, peruntukan tersebut memberi peluang kepada ibu, bapa atau penjaga yang mempunyai taraf warganegara Malaysia untuk memohon kewarganegaraan bagi anak yang berumur kurang daripada 21 tahun.

“Kerajaan Persekutuan boleh mendaftarkan seseorang berumur kurang daripada 21 tahun itu jika sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibubapanya adalah sekarang (atau pada kematiannya) merupakan seorang warganegara Malaysia.

“Permohonan ini juga adalah tertakluk kepada Perkara 18, Perlembagaan Persekutuan.

“Pemohon juga harus ingat bahawa beban untuk membuktikan kelayakan seseorang anak itu untuk dianugerahkan taraf kewarganegaraan adalah di bawah tanggungjawabnya” kata Sivakumar.

Kata Sivakumar, kegagalan mendapat taraf kewarganegaraan dibimbangi menjadi masalah kepada negara pada masa akan datang.

“Mereka tidak boleh mendapat pelajaran seperti anak-anak yang lain. Mereka juga akan menghadapi masalah untuk memperolehi pekerjaan yang baik.

“Mereka mungkin akan menjadi buruh kasar ataupun pengganggur. Ini sudah pasti akan menjadi satu masalah sosial kepada negara kita,” ujarnya.

Menurut sumber, sehingga Jun 2014, terdapat 525 permohonan dari keturunan Pakistan, diikuti kaum Bajau (372) dan kaum Cina 340.

Jumlah permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) yang didaftarkan di Sabah berjumlah 1073 orang diikuti Wilayah Persekutuan (442) dan Johor (162). – Roketkini.com