Berita, Isu Semasa

Tony Pua: Akui sajalah 1MDB lumpuh

PETALING JAYA, 1 JUN: Kerja-kerja menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang giat dilaksanakan kerajaan membuktikan anak syarikat Kementerian Kewangan itu telah lumpuh.

Terbaru, Kementerian Kewangan melalui Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Handzlah mengumumkan dua projek 1MDB iaitu Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia sebagai dua buah pengurusan berasingan.

Menurut Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua, langkah mengeluarkan dua entiti itu jelas menunjukkan ini sebagai langkah awal kerajaan bagi membubarkan 1MDB yang telah lumpuh akibat beban hutang melampau RM42 bilion.

Tony memetik laporan Bernama yang turut ‘mengesahkan’ masa depan gelap 1MDB apabila menyatakan syarikat itu akan dibubarkan dan semua operasinya akan dipindah kepada tiga firma berasingan.

“Apa lagi yang tinggal dengan 1MDB jika tidak dibubarkan?

“Husni perlu akui bahawa 1MDB sudah lumpuh dan akan dibubarkan. Dia patutnya hadapi kenyataan 1MDB gagal dan dia perlu cari dalang yang buat negara kita hilang berbilion ringit,” tegas Tony lagi. – Roketkini.com