Berita, Isu Semasa

Bank Negara perlu beku kerjasama MIT Sloan

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Khuatir Bank Negara Malaysia (BNM) gagal menguruskan jutaan wang rizab, DAP menyeru kerjasama dengan Sekolah Pengurusan Sloan Institut Teknologi Massachusetts (MIT Sloan) untuk menubuhkan Asia Business School (ABS) dihentikan serta-merta.

Menurut Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming, BNM tidak sepatutnya melabur berjuta ringgit bagi tujuan tersebut kerana sebelum ini institusi kewangan itu telah membina pelbagai pertubuhan bagi tujuan yang tidak banyak bezanya.

okmMalahan Kian Ming turut menjelaskan Akta Bank Pusat 2009 tidak menyatakan bidang pendidikan adalah tanggungjawab BNM untuk dimajukan.

“Benar BNM ada hak tubuhkan badan tertentu bagi memberikan kaunseling kewangan dan perkhidmatan pengurusan hutang.

“Namun, untuk tujuan itu BNM telah pun ada Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) dan CCDM, malahan dalam bidang kepimpinan BNM telah tubuhkan ICLIF,” ujar Kian Ming.

Kian Ming dalam kenyataan yang sama mengatakan inisiatif terbaru BNM turut dikhuatiri berakhir dengan kegagalan seperti yang terjadi kepada Perdana Graduate School of Medicine (Pugsom) yang menjalankan kerjasama dengan John Hopkins School of Medicine.

Presiden MIT L Rafael Reif dan Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz menandatangani perjanjian.

Presiden MIT L Rafael Reif dan Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz menandatangani perjanjian.

Kegagalan kerjasama antara Universiti Perdana dan John Hopkins itu menjadi berita hangat tahun lalu apabila John Hopkins menghentikan kerjasama Pugsom sejak 31 Julai 2014 kerana lambat menerima bayaran tertunggak selama 12 bulan.

Pugsom ditubuhkan pada 2010 di bawah inisiatif Academic Medical Center Sdn Bhd (AMC) menawarkan kursus perubatan selama empat tahun dengan kerjasama Johns Hopkins.

Justeru ujarnya, projek terbaru dari kerjasama itu harus dihentikan serta-merta.

“Memulakan sebuah universiti perniagaan bukanlah murah terutamanya apabila BNM terpaksa membayar gaji tinggi kepada ahli akademik luar.

“BNM harus bimbang kerana ini bermakna lebih banyak wang akan dibelanjakan sepanjang kerjasama 10 tahun itu.

“Saya seru kerjasama ini dihentikan serta-merta agar jutaan ringgit rizab tidak dibelanjakan pada sektor yang bukan di bawah tanggungjawabnya,” ujar Kian Ming lagi. – Roketkini.com