Berita

Diamlah, Shahidan

GEORGE TOWN, 2 JUN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim akan dilihat lebih bijak jika beliau menutup mulut berbanding memberikan cadangan menjadikan kem mangsa penyeludupan manusia sebagai destinasi pelancongan.

Setiausaha DAPSY Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata, Shahidan tidak memiliki pengetahuan mengenai pelancongan, terutama membabitkan kawasan tragedi menyayat hati yang dinamakan ‘pelancongan gelap’ (dark tourism).Syerleena

Ujarnya, terdapat garis pemisah kabur antara keinginan melihat perkara tertentu dengan penghormatan terhadap pelarian.

Keadaan itu, katanya menjadi lebih tidak sesuai kerana Malaysia kurang pengalaman dalam sektor tersebut.

“Persoalannya, bagaimana kita boleh menghormati mangsa dan mereka yang terselamat dari salah satu daripada tragedi paling besar kepada negara kita?

“Bagaimana kita boleh elak eksploitasi dan rasa tidak puas hati mereka yang berjaya melarikan diri dari kem itu?

“Apa jaminan industri pelancongan begini tidak menghasilkan sesuatu yang tak bermoral?” soal Syerleena.

Shahidan sebelum ini mencadangkan kawasan terpencil berhampiran sempadan yang menempatkan mangsa pemerdagangan manusia sebagai destinasi pelancongan.mayat2

Idea ‘bernas’ Shahidan itu dibuat selepas melawat sendiri kem terbesar daripada 16 kem yang ditemui di Perlis.

Katanya, kes penyeludupan manusia tidak akan berlaku lagi sekiranya kawasan tersebut diubah menjadi destinasi pelancongan.

Ujar Syerleena, sektor ‘pelancongan gelap’ memerlukan penyelidikan komprehensif, perancangan terperinci dan pemahaman menyeluruh tentang psikologi manusia.

Dalam erti kata lain katanya, adalah lebih baik mereka yang pakar membuat keputusan dan kesimpulan sekiranya tapak tersebut sesuai untuk dijadikan tempat pelancongan.

Justeru, Syerleena menggesa Shahidan menahan diri dari bercakap mengenainya.

“Bidang ini perlukan kepakaran dan pendapat mereka yang berkelayakan, malangnya Shahidan tak ada kelayakan. – Roketkini.com.