Berita, Isu Semasa

Tony: Bayaran atau pinjaman?

KUALA LUMPUR, 2 JUN: AS$1 bilion yang diterima 1MDB daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) itu bayaran atau pinjaman? – Demikian persoalan dibangkitkan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua apabila melihat tindakan kabinet mengambil mudah “laporan tidak lengkap” Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

tonyJumaat lalu, Husni mengumumkan bayaran AS$1 bilion oleh IPIC dan Aabar Investment kepada konsortium bank asing yang memberikan pinjaman kepada 1MDB.

Tony bagaimanapun menempelak kenyataan itu kerana jika ia adalah bayaran maka segala perincian transaksi haruslah dibentangkan.

Namun sebaliknya laporan mengenai transaksi melibatkan AS$1 bilion tersebut tidak jelas dan diluluskan kabinet secara semberono.

“Apa yang kabinet dapat hanyalah beberapa cadangan kabur tanpa memberi gambaran lengkap mengenai ‘bayaran pendahuluan’ IPIC itu.

“Bagaimana kabinet boleh meluluskan keputusan menerima sejumlah AS$1 bilion daripada pelaburan luar untuk transaksi yang tidak diketahui dan tidak jelas? Ini bukan laporan lengkap.

“Jika mereka sendiri tidak faham cadangan atau isu, bagaimana mereka boleh mengharapkan rakyat Malaysia faham?

“Jelaslah menteri hanya mempertahankan kepentingan berbilion ringgit duit pembayar cukai dan liabiliti yang ditanggung 1MDB,” kata Tony. – Roketkini.com