Berita, Isu Semasa

Ada apa dengan kabinet kita?

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Di premis yang sama, tapi dua majlis berbeza.

Satu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang menghadiri majlis pelancaran Kristian Untuk Keamanan dan Kedamaian, manakala barisan kabinetnya pula berkumpul sesama sendiri dalam sesi mesyuarat yang ‘misteri’.

Apakah agenda Hishamuddin dan Shabery?

Apakah agendanya? (Hishamuddin dan Shabery)

Ia semakin ‘misteri’ apabila tiada mana-mana anggota kabinet yang mahu membuka mulut memberikan bayangan apa yang dibincangkan mereka.

Menurut StarTV, sekurang-kurangnya 16 menteri dilihat berada di tempat mesyuarat itu tapi tidak bersedia untuk memberikan sebarang maklumat.

Hanya Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah yang mendakwa mereka bertemu untuk membincangkan hal dalaman.

“Kami membincangkan banyak perkara seperti Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan semuanya,” katanya.

Najib berada di tempat yang sama, tapi dalam acara berbeza.

Najib berada di tempat yang sama, tapi dalam acara berbeza.

Apabila ditanya apakah ia ada sebarang kaitan dengan 1MDB, Husni menjawab: “Tidak, tidak, tidak, kita tak bincang pasal tu,” sebelum beliau terus berjalan ke lif Hotel Majestic itu.

Najib tidak dilihat bersama kalangan menteri selepas mesyuarat selama tiga jam itu berakhir.

Sementara itu di Sepang, hanya antara 30 hingga 50 orang menyambut kepulangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dari bercuti di luar negara di sebalik pelbagai cerita, desakan dan gesaan sesetengah pihak yang mahu orang ramai berkumpul meraikan kepulangan beliau.

Muhyiddin menjadi perhatian kerana dianggap antara tokoh yang lantang menyuarakan rasa tidak senang terhadap skandal dialami syarikat 1MDB.

Taklimat menteri mengenai 1MDB.

Menurut Utusan Malaysia, mesyuarat bermula pada jam 9 malam bertujuan memberi taklimat kepada menteri langkah membayar balik hutang RM42 bilion 1MDB yang dimiliki Kementerian Kewangan.

Antara yang kelihatan dalam video ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar Datuk Seri Shafie Afdal, Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein, Menteri Pengangkutan Liow Tong Lai dan Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.

Pertemuan malam tadi juga berlangsung sebelum mesyuarat kabinet yang dijadualkan hari ini. – Roketkini.com