Budaya, Wawancara

‘Jangan bagitau mak bapak kami main di gig Roketkini’

Putrajaya bukan tempat sesuai untuk buat wawancara. Dua blok bangunan di Putrajaya bersamaan sepuluh blok di tempat lain. Kalau bertanyakan satu-satu lokasi dan ada orang bagitahu kau perlu jalan dua blok, jangan turun dari kereta. Kalau bernasib baik dan tak sesat di celah bangunan yang bentuknya lebih kurang sama, kau akan sampai sejam kemudian. Petunjuk dari Nani, sang gitaris Spooky Wet Dreams (SWD): “Kitorang kat yang banyak khemah, sebelah kiri”. Malam itu adalah malam pertama Festival Belia Putrajaya. Ada satu juta khemah, ada satu juta sebelah kiri.

Seorang rakan cuba menunjukkan kecanggihan iPhone 5s dengan aplikasi kompas untuk mencari Zon Barat – Zon yang diperuntukkan untuk acara seni dan budaya tempat Nani sedang menunggu bersama Ze (vokalis), Lisa (drummer), dan Salihin (basist). Ketika ini wawancara mungkin sudah selesai dan kami sedang dalam perjalanan pulang. Tapi kami habiskan lebih sejam menapak di kaki lima meredah booth-booth Festival Belia. Rasanya malam itu kami turut termasuk kawasan trek motocross dan membuat dua, tiga lap lengkap.

“Aku dah dapat tajuk untuk interviu ni,” kata seorang kawan, “Jangan Tanya Jalan Dengan Budak Generasi Z Mereka Cuma Tahu Guna Waze.” Budak umur 12 tahun meluncur laju sebelah kami dengan kasut rodanya sambil perhatikan tiga lelaki generasi Y lencun dengan peluh. Budak ni tak tahu pun apa itu generasi Y. Dan sebagai generasi Y, kami salahkan semua; Mahathir, jalan sesak, papan tanda, Kelantan Fried Chicken, dan semua manusia yang terlibat dalam mencipta nama-nama jalan di Putrajaya.

Cukup pasal generasi Y yang semula jadi lahir dengan kemahiran tinggi menyalahkan semua benda kecuali diri sendiri. Kami akhirnya tiba dan terus mengajukan soalan wawancara:

 

Adakah betul seperti yang dikatakan, generasi Z suka lepak TTDI, minum kopi mahal dan habiskan duit mak bapak beli gajet terkini?

“Ya, kitorang minum dulu, masa nak bayar tu baru fikir, hoi, mahalnya! Tapi apa ada hal. Mama ada bagi duit poket”

Soalan serious, apa yang SWD cuba buat?

Berseronok, menari, enjoy. Sekarang tengah rekod album. Kami selalu main lagu sendiri. Kadang-kadang buat cover lagu yang kami suka.

Tolong bagi jawapan berisi, kami perlu hasilkan wawancara yang nampak bijak supaya orang lain baca dan kagum. Apa idea dalam muzik SWD?

When we first started.., we want to break barriersand then…

*Teks wawancara selepas ini adalah terjemahan sebab seperti dijangka Spooky Wet Dreams adalah sebuah band yang terdiri daripada remaja urban awal dua puluhan (salah seorang 18 tahun) yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama komunikasi dan sekali sekala akan menekankan mereka masih mengagumi allahyarham P Ramlee. Soalan dan jawapan mungkin tidak seperti yang direkodkan dalam perakam suara, tapi maksudnya masih sama. Harap-harapnyalah.

11289608_456697537819470_804213169453995658_o

Nani (kiri) dan Salihin (kanan) masing-masing baru menjengah awal usia 20an

 

“Bila kami mula-mula nak buat band, kami mahu pecahkan tabu. Rakyat Malaysia sangat pemalu. Kita sangat tertutup atas alasan takut akidah runtuh atau sesat. Kami cuba acah-acah salah faham konsep seumpama ini. Nama Spooky Wet Dreams sendiri mengandungi unsur provokasi. Kami cuba main muzik dengan nama yang mungkin sedikit nakal dan lucah dan kami dapati orang yang boleh terima muzik kami boleh terima nama band kami. Kita sangat takut cakap pasal seks, contohnya, untuk tujuan pendidikan sekali pun. Apa lagi cakap pasal agama atau ideologi.”

 Nampak bijak sikit. Soalan seterusnya, kenapa pilih main muzik dalam bahasa Inggeris?

Kami bercita-cita tinggi untuk capai audiens lebih besar. Kami fikir audiens berbahasa Inggeris lebih ramai. Tapi tidak bermaksud kami pandang rendah bahasa Melayu. Kami percaya untuk bawa bahasa Melayu kepada audiens lebih besar, kami perlu guna bahasa yang audiens lebih besar faham dulu. Macam Yuna. Dia dah terkenal di luar negara, bila dia nyanyi lagu bahasa Melayu di UK, orang Malaysia di sana kembang hidung mengaku lahir di Parit Buntar. Jadi macam orang lain dulu sebelum impose idea. Bukan datang terus nak berkhutbah.

Ze terlibat dalam kempen drug free. Sila ceritakan sedikit dan bagaimana situasi penglibatan dadah di kalangan golongan muda pada hari ini.

Saya berhenti hisap rokok atau ambil dadah. Ada pengalaman buruk dan saya rasa saya terlalu muda untuk sia-siakan potensi sendiri. Saya masuk ke sekolah-sekolah dan terlibat dengan program drug free. Saya dapati sebenarnya golongan muda hari ini tak ramai yang terlibat dadah. Ada. Tapi tak ramai berbanding dulu. Saya ke sekolah blacklist di Taman Medan, budak-budak gangster ramai di sana. Tapi yang paling gangster sekali pun, yang Ein (Second Combat) cakap sikit pun dia boleh pergi angkat Ein, dia pun tak ambil dadah. Bukan nak kata kempen berjaya. Tapi saya rasa golongan muda hari ini tidak berminat dengan dadah. Mereka ada dadah lain: internet.

11289608_456697544486136_5147014606408563975_o

Ze aktif dalam aktiviti dan kempen drug free.

Apa beza kempen Belia Benci Dadah versi Mawi dan belia benci dadah versi Ein dan Ze buat?

Kita tak boleh ajar budak-budak dengan ketakutan. “Kau ambik dadah siap kau”. Diorang akan cakap “pergi mampus”. Kita perlu didik dengan cara yang mereka boleh terima. Kalau paksa, mereka akan berontak. Budak-budak sekarang hati kering. Kau kena bagitahu dengan cara yang mereka boleh hormat kau.

Tentang gig Solidariti. Tahu tak ia adalah anjuran Roketkini, portal berita DAP?

Mula-mula tak tahu. Tertarik dengan tajuk. Dah tahu kitorang gelak, “Jangan bagitau mak bapak main dengan DAP”. Kalau mama tanya, jawab “Oh ada event kat Black Box”.

Bagi Ze, adakah DAP parti cina yang bertujuan tegakkan negara Kristian?

Itu sangat bodoh. Politik adalah memilih yang terbaik dari yang terburuk. Rasuah susah nak bersihkan, dah duit depan mata, dia susah nak tolak. Tapi rasanya bagi orang muda macam saya, kami cuma harap, dah ambik tu, bagilah balik. Janganlah ambik semua. Bagilah sikit. Jangan naikkan harga barang. Secara ringkasnya, saya tak akan undi BN. Silakan masukkan kenyataan ini. Saya tak peduli.

Dah pernah mengundi?

Belum. Tak cukup umur.

Mungkin sebab itu Pakatan Rakyat belum ambil alih Putrajaya.

Mungkin.

Korang tak rasa bangsa korang terancam?

Mengarut. Kita selalu dengar Cina kawal ekonomi. Kalau nak nak main sentimen kaum sekali pun, kalau kau nak bangsa berjaya ekonomi, kau rajin-rajinlah kerja.

Tapi kalau kau Cina kau tak boleh masuk UiTM.

Sebab tu aku benci UiTM.

 

small-ress-squaresolidaritiSaya perhatikan tempoh hari di Frinjan, groupies SWD ramai Melayu.

Ada Cina tapi jarang datang. Kebanyakan yang datang Melayu. Mereka ada scene sendiri. Dulu dua orang gitaris kami Cina. Kalau Salihin tak boleh main, sessionist kami India. Kami tidak peduli dengan kaum, kami boleh buat lawak sesama sendiri. Cina, Melayu, India, gay, kami tak peduli sebab akhirnya semua ini kawan-kawan kami juga.

 

Korang hidup di dunia belah mana? Takkan tak ada kawan yang seksis atau rasis? Macam mana berhadapan dengan kawan yang rasis/seksis?

Stereotype tu, ada. Melayu malas, Cina tipu, India kaki gaduh. Kalau bawak kereta macam sial; “Ni mesti perempuan yang drive ni”. Tapi tak ada yg serious. Stereotype. Kami masih lepak dengan kawan-kawan begini. Kami vokal, mereka tak serang kami. Tapi kalau serang orang tu sebab bangsa dia, memang tak lepak dah. Kau salahkan dia sebab bangsa dia buat apa? Orang India kaki gaduh, orang Melayu pun kaki gaduh.

Kenapa rasanya rata-rata generasi Z berperangai tidak acuh atau peduli?

Mungkin sebab kami dah terlalu bosan dengan tradisi lama. Dengan sistem pendidikan yang nak kambing biri-birikan semua orang. Mereka tak peduli pun pasal kami. Tak kisah generasi mana, semua satu hari nanti akan terlibat dalam pentadbiran negara. Kalau satu-satu generasi itu teruk sebab tak ada orang peduli.

Apa yang tak kena dengan sistem pendidikan?

(Nani) Mereka paksa buat benda. Mereka suruh buat sesuatu, tapi tak bagi berfikir. Bila tanya, kena marah.

(Ze) Saya pernah debat dengan cikgu Sejarah. Saya cuma kata, sejarah ditulis oleh pemenang, yang hidup boleh gebang, macam mana yang mati? Saya diarah untuk jumpa pengetua. Produk pendidikan tidak bagi kebebasan berfikir.

Apa erti solidariti bagi anda?

(Nani) Solid…solida.. apa? Sebenarnya saya tak tahu apa tu.

(Salihin) Solidariti dengan solitud tu beza eh?

(Ze) Solidariti bagi saya adalah dengan mengambil bahagian untuk menyumbang kepada negara. Saya selalu berminat untuk menyertai aktivisme seperti Occupy Dataran. Ia ajar saya bahawa semua orang mempunyai suara dan itu yang saya dan segenerasi saya lupa. Kami dilatih untuk fikir duit rakyat adalah duit kerajaan. Sistem pendidikan sangat teruk.

 

11289608_456697541152803_2834677591606180764_o

Lisa (dua dari kanan) merupakan pemain drum Spooky Wet Dreams

Solan terakhir; siapa hero anda? Dalam banyak-banyak soalan, mungkin ini yang mereka ambil masa untuk jawab. Tipikal gen Z. Hero sebahagian dari diri mereka. Dibesarkan oleh gen X yang rajin bekerja, dikelilingi gen Y yang suka komplen, mereka selesa untuk menjadikan The Beatles, Dave Grohl, Mathew Healy sebagai hero mereka. Hanya Ze, sang vokalis yang kelihatan cuba untuk jadi lebih tua daripada umurnya memetik Che Guevara sebagai hero (dan Malcolm Gladwell), dia tertarik dengan revolusioner sensasi itu. Selebihnya, kau boleh tengok diri mereka dalam nama-nama pujaan ini. Ini mungkin bukan karakter khusus gen Z sahaja tapi betul untuk semua; hero adalah imej yang dikutip dan dikolajkan untuk mencipta identiti. Tapi gen Z tidak seperti abang mereka gen Y yang terperangkap di bawah bayang-bayang identiti gen X. Gen Z tak banyak fikir. Mereka buka distro buku, studio jamming, buat kolektif, hasilkan kraftangan d.i.y, buka kafe, dan sekali sekala menuju ke acara seni untuk dapatkan snapshot terbaru instagram. Mereka juga adalah entrepreneur-entrepreneur muda yang menonton adaptasi Mad Max tanpa perlu terperangkap dengan romantikisme filem asal. Semua idea nampak baru di mata mereka.  Gen Z cuma mahu lepak TTDI, minum kopi mahal dan mereka bakulsampahkan idea-idea kolot perkauman.

Datang Publika Sabtu, 6 Jun ini di Black Box sempena acara Solidariti: Malaysia Milik Kita Bersama anjuran Roketkini untuk menyaksikan Spooky Wet Dreams gigit gitar, telan mikrofon, baring atas pentas bukan dengan gestur  tipikal Kurt Cobain yang dalam delusi paranoia, tapi lebih seperti “saya dah siapkan kerja rumah dan saya rasa nak pecahkan pasu bunga jiran saya”. Lihat mereka berseronok meraikan hidup di pentas, dan mana tahu kita boleh berkongsi rasa itu – Roketkini.com