Rencana

Memahami UG versi Kit Siang

Hangat menjelang muktamar tahunan PAS esok, pertembungan antara geng ulama yang amat berahi mahu kepada Unity Government (UG), dengan geng yang tak berapa nak ulama, yang tidak mahu ditipu Umno lagi.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pun mahu bikin UG, kata mereka yang mempertahankan usaha-usaha membentuk UG antara PAS dan Umno. Tapi sebenarnya apa inti UG versi Kit Siang ketimbang UG Hadi Awang?

Pertama-tamanya, ia bukan UG; bersalahan dengan andaian umum.

Apa yang disebut Kit Siang sebagai gabungan ‘Selamatkan Malaysia’ itu berakar daripada konflik yang sedang dihadapi kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, yang mengakibatkan kedua-duanya kehilangan keyakinan orang ramai.

Ia adalah cetusan yang meninggalkan premis politik semasa dan membentuk sebuah koalisi yang sama sekali berlainan. Ia mengetongsampahkan permasalahan kedua-dua gabungan, dan memberi ruang untuk bermula semula dari awal.

Macam tekan butang on/off apabila sesebuah peranti elektronik anda bermasalah. Begitulah keadaannya.

Gagasan Kit Siang untuk ‘Selamatkan Malaysia’ seperti selalu hendaklah sifatnya mempunyai perwakilan berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang daerah; yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam, Melayu dan bukan Melayu. Inklusif, tanpa mengesampingkan mana-mana kaum, agama dan daerah.

Bukan tertumpu kepada satu kaum sahaja, atau satu kelompok agama sahaja, atau semenanjung sahaja sambil meminggirkan Sabah dan Sarawak.

Gagasan ini mahunya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, sebagai dokumen jatidiri negara yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Malaysia. Dan ia memerlukan seorang perdana menteri baru, serta kerajaan Persekutuan yang baru.

Ini berbeza dengan konsep UG Umno – PAS yang bersandarkan kepentingan Melayu – Islam semata-mata sehingga sanggup membelakangkan rakan-rakan warganegara yang berbilang kaum dan kepercayaan agama.

Tidak seperti UG Umno – PAS, ia bukan kerajaan perpaduan antara DAP dengan gerombolan Umno – BN; apatah lagi gabungan antara DAP – PKR – MCA – Gerakan. Itu dah mengarut sangat bunyinya.

Bagi Kit Siang, apa yang penting ialah kepentingan negara dan rakyatnya dijaga. Bukannya perkumpulan untuk menyelamatkan parti-parti politik, dan mestilah dibuat berasaskan prinsip dan agenda yang dikongsi bersama demi kepentingan negara.

Perdana menteri baru

Melalui gagasan Kit Siang ini, usaha untuk ‘Selamatkan Malaysia’ pastinya memerlukan seorang pemimpin bagi menggantikan perdana menteri yang sedang sarat menanggung beban hutang 1MDB dan perkelahian dalaman Umno yang berterusan.

Perdana menteri yang baru ini pula tidak semestinya datang dari kalangan politisi semenanjung sahaja sebagaimana kebiasaan. Calon ini boleh jadi berasal dari lapangan politik Sabah dan Sarawak juga, bertepatan dengan semangat keterangkuman yang digagaskan beliau.

Bertetapatan dengan langkah bertolak menjauhi premis politik Pakatan dan BN, calon perdana menteri baru ini juga boleh datang dari mana-mana parti politik.

Lelaki atau perempuan, tidak jadi masalah; asalkan cukup syaratnya memiliki keyakinan majoriti daripada 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Apa yang lebih penting, gagasan baru ‘Selamatkan Malaysia’ ini mestilah sewajarnya dibangunkan atas asas Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang bertujuan mempertahankan prinsip-prinsip asas Perlembagaan Persekutuan, memulihkan keyakinan serta kebebasan institusi nasional selain memupuk nilai-nilai integriti, kebebasan, keadilan dan maruah rakyat di dalam negara.

Hanya demikian maka boleh dibentuk program bagi memulihkan keagungan dan kecemerlangan Malaysia dari segenap sudut termasuk ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan yang lainnya.

Kecemerlangan ini bererti kemampuan untuk melahirkan sebuah kerajaan yang kalis korupsi dan mampu menjulang tinggi kedaulatan undang-undang dan martabat hak asasi manusia.

Simboliknya nanti apabila kedaulatan undang-undang dan keadilan didukung tinggi, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat dibebaskan dan boleh kembali menyertai politik arus perdana Malaysia.

Apa yang terjadi kemudian daripada itu, biar masa yang menentukan.

Yang penting, gagasan Selamatkan Malaysia bukanlah gagasan bagi menyelamatkan Umno, Najib Razak, PAS, 1MDB malah bukan untuk menyelamatkan DAP dan Kit Siang sendiri.

Berbeza dengan konsep UG orang lain yang gigih dirangka secara rahsia demi menyelamatkan kepentingan politik masing-masing.

Seruan Kit Siang dibuat secara terbuka, tidak dari dalam kelambu. Ia memanggil sesiapa sahaja untuk meletakkan kepentingan negara melampaui kepentingan peribadi dan parti.

Namun inilah dia cabaran beliau untuk seluruh rakyat Malaysia. Adakah mungkin kita akan dapat menerima cabaran ini di saat kiri dan kanan diasak konflik kepartian dan bebanan ekonomi akibat salah urus sang pemerintah? – Roketkini.com