Berita

Muktamar Pemuda PAS: Jangan halau mereka

SHAH ALAM, 3 JUN: Dalam proses melakukan perubahan melalui gerakan politik Islam, antara perkara yang diberi keutamaan adalah pertemuan dan penglibatan dengan masyarakat bukan Islam.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam ucaptama perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-56 semalam berkata, PAS sebagai organisasi Islam terbesar di Malaysia perlu menerapkan unsur dakwah yang sederhana dan mendamaikan.

SUFI6728“Apa sebab orang bukan Islam hormat kepada Nabi Muhammad?

“Baginda bertemu dengan orang bukan Islam, untuk menceritakan tentang keindahan agama Islam.

“Dalam pertemuan, ada pihak yang (menyambut secara) keras, dan lembut (malah) mengancam keselamatan Nabi.

“Namun, baginda istiqamah (tekun) untuk membebaskan perhambaan sesama manusia,” kata Mohamad Sabu memetik sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Mohamad turut mengupas kemenangan diraih PAS sepanjang menyertai pilihan raya, dan turut memuji kebijaksanaan pimpinan terdahulu termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Dulu, untuk menang pilihan raya umum 1959 (PRU pertama selepas merdeka), kita (PAS) bertahaluf (kerjasama politik) dengan Parti Negara,” ulas Mohamad Sabu mengimbas kemenangan PAS dan Parti Negara di Terengganu.

“Bila kita bertahaluf dengan parti lain, melalui pakatan politik, (PAS) dapat kuasai Kedah pada 2008. Inilah kekuatan politik PAS,” ujar Mohamad.

Justeru ujarnya, percanggahan pandangan perlu disikapi dengan sabar, kerana perbezaan pendapat berlaku dimana-mana tanpa perlu melemparkan tohmahan dan takfir (kafir-mengkafir)

“Mulai (PRU) 1999, kita dapat lonjakan pengundi Melayu. Kita kekalkan Kelantan dan menambah kemenangan di Terengganu.

SUFI6591“Namun, penambahan pengundi Melayu ini tidak cukup untuk negeri-negeri di Pantai Barat, melainkan utara Semenanjung,” kata Mohamad yang lebih mesra dipanggil Mat Sabu

“Penerokaan bidang politik kerjasama akhirnya menghasilkan natijah pada 2008, apabila pertama kali PAS mendapat sokongan orang-orang bukan Melayu sehingga menguasai Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

“Hasil ini bukan dengan tidak sengaja, tetapi melalui proses perubahan, percambahan fikiran daripada konsep Negara Islam yang dasarnya tidak berubah kepada Negara Berkebajikan

“Kita cari kelemahan, kupas dan analisa. Tapi jangan sampai tindakan kita seolah-olah menghalau mereka. Bukan menghalau secara literal, tetapi melalui perkataan dan perbuatan,” kata Mohamad.  – Roketkini.com