Berita

Ahmad Awang ditawar jawatan untuk sabotaj Pakatan

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang mengakui pernah mendapat tawaran kerusi speaker di dewan undangan negeri itu jika merelakan partinya membentuk kerajaan dengan BN pada 2008.

Bercakap kepada akhbar Sinar Harian, Ahmad berkata, keteguhan kepada prinsip mendorong beliau menolak tawaran berkenaan, sebaliknya setia bersama rakan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan sendiri.

“Kalau saya bersetuju dengan PAS dan Umno, lainlah ceritanya sekarang,” katanya.

Ahmad dilihat tokoh ulama yang rapat dengan PR walaupun membawa penampilan yang agak konservatif.

pum3

Menteri besar dan exco Perak yang digulingkan melalui cara jijik

Selepas keputusan pilihan raya umum 2008 diumumkan, beliau menggunakan kuasa yang ada padanya sebagai pesuruhjaya mengumumkan pembentukan kerajaan Perak bersama PKR dan DAP.

Bagaimanapun dipercayai ada pihak tertentu dalam PAS di Kuala Lumpur kurang senang.

Keadaan sama juga berlaku di Selangor sehingga menyebabkan berlaku pergeseran dalaman membabitkan dua kelompok dalam PAS.

Keretakan itu semakin parah dan dapat dilihat pada muktamar tahunan parti berkenaan ketika ini.

Kata Ahmad, ketegasannya menyebabkan beliau dikecam dan dianggap penghalang kepada penubuhan kerajaan parti Melayu – Islam di Perak.

Apabila menawarkan diri bertanding untuk jawatan presiden PAS kali ini, Ahmad berkata, ia sekali lagi meresahkan UMNO.

“Jadi tidak peliklah apabila saya bertanding, UMNO pun resah dan menggunakan akhbar mereka untuk memburukkan saya sebab saya berpegang kuat kepada prinsip iaitu Islam,” katanya. – Roketkini.com