Berita

Ku Nan buat lawak minta China tolong UMNO

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Menyedari hayat kerajaan UMNO dan BN berada di penghujungnya, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor tampil dengan idea ‘bernas’ – memohon pertolongan kerajaan China.

Berucap di hadapan Duta Besar China Dr Huang Hui Kang, Adnan dilaporkan berkata, Malaysia berharap Beijing membantu menasihati masyarakat Cina di negara itu supaya mengingati segala jasa kerajaan selama lebih 57 tahun.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok menyifatkan tindakan Tengku Adnan itu sebagai satu jenaka terbaru UMNO yang membuktikan mereka tenggelam punca untuk meraih sokongan rakyat.

“Mengapa BN menjadi begitu menyedihkan sehingga terpaksa minta kerajaan asing untuk mendapatkan semula sokongan rakyat sendiri?

“Adakah BN hilang keyakinan penuh terhadap keupayaan MCA, Gerakan dan SUPP untuk mendapatkan semula sokongan kaum Cina?” katanya.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, komen Tengku Adnan tidak boleh diterima rakyat Malaysia.

Katanya, politik BN ketika ini betul-betul melucukan.

Teresa turut menggesa pimpinan UMNO – BN hentikan taktik membodohkan rakyat dengan kenyataan seperti “rakyat tak bersyukur” seolah-olah menyalahkan orang awam apabila tidak memberi sokongan kepada parti berkenaan.

“Kaum Cina Malaysia adalah rakyat Malaysia, dan mereka tak perlu kerajaan China untuk memberi nasihat atau arahan.

“Rakyat Malaysia berhak memilih pemimpin yang mereka mahu,” katanya. – Roketkini.com