Berita

Ramkarpal: Rasuah, bukan kesan mansuh ISA

GEORGE TOWN, 4 JUN: Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengambil tindakan segera mendakwa anggota keselamatan di sempadan yang didapati menerima atau memberi rasuah.

“Mereka ini harus didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Keselamatan negara bukan perkara yang boleh dikompromi dan semua usaha perlu diambil untuk memastikan pihak bertanggungjawab didakwa demi kebaikan negara,” katanya dalam kenyataan.

Malaysia baru-baru ini digemparkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Kawasan itu dipercayai menjadi tempat anggota sindiket pemerdagangan manusia bersembunyi atau menyorokkan mangsa mereka.

Penemuan itu membangkitkan persoalan serius mengenai tahap keselamatan di sempadan negara.

Akhbar New Straits Times semalam melaporkan bahawa 80 peratus – atau bersamaan lapan daripada 10 pegawai penguatkuasa dan anggota keselamatan di sempadan negara – terlibat dengan aktiviti rasuah.

Laporan tersebut juga menyebut sebab utama rasuah semakin bermaharajalela adalah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mengulas lanjut, Ramkarpal menegaskan, pemansuhan ISA bukanlah penyebab utama masalah itu berlaku.

“Persoalan lebih besar ialah mengapa tidak ada tindakan diambil sepanjang sedekad lalu? Walhal ISA hanya dimansuhkan pada 2012.

“Mengapa tidak ada tindakan diambil apabila akta tersebut masih berkuatkuasa? Jelas pemansuhan ISA tidak boleh menjadi sebab masalah ini,” tegas beliau. – Roketkini.com