Berita, Isu Semasa

Siasat ESSCOM kerja polis, bukan MP

TAWAU, 4 JUN: Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong mendesak kerajaan menyiasat penyelewengan pihak Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) jika benar-benar mahukan bukti dari dakwaannya sebelum ini.

Kata Jimmy, siasatan dan pengumpulan bukti sepatutnya menjadi tugas kerajaan, bukan tanggungjawab ahli parlimen.

jimceramah

Ratusan hadirin memenuhi Dewan Hotel Emas, malam tadi.

“Kalau tugas saya sekalipun, adakah bermakna kerajaan boleh berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa?

“Jika mereka berkeras mahukan bukti, kerajaan perlu beri kuasa kepada saya untuk menyiasat,” kata Jimmy dalam satu ceramah di Dewan Hotel Emas, Tawau semalam.

Pada 2 Jun lalu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan mesra BN, Kelab Penyokong Pekember Sabah dan Kelab Aktivis UMNO membuat laporan polis terhadap laporan Roketkini bertajuk ‘Pegawai ESSCOM Sibuk Bertaruh RM1,000 Satu Lubang?’

Presiden NGO itu, Zulkarnain Mahdar mendakwa kenyataan Jimmy tidak mempunyai bukti dan boleh menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat Sabah.

Namun kata Jimmy, persoalannya sama ada polis bersedia memulakan siasatan mengenai dakwaannya.

“Saya sudah membuat laporan polis dan banyak kali membuat aduan.Tapi pihak berkuasa tidak bertindak.

“Sebab itu saya mengemukakan memorandum yang terkandung segala dakwaan penyelewengan di parlimen,” tegasnya. – Roketkini.com