Berita, Isu Semasa

Ramkarpal: Bila KPN nak bertindak?

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mendesak Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya segera mengambil tindakan tatatertib menggantung tugas ‘80 peratus kakitangan keselamatan dan pegawai penguatkuasa’ di sempadan yang dituduh terlibat dengan rasuah.

Beliau berkata, tindakan serta-merta harus dilakukan kerana dakwaan itu dibuat polis Cawangan Khas (SB) sendiri dan sementara menunggu siasatan dilakukan.

rasuah

Gambar Hiasan

“Membiarkan mereka meneruskan perkhidmatan selepas laporan SB tersebut hanya menunjukkan bahawa Khalid sambil lewa dalam menjalankan tugasnya,” katanya dalam kenyataan.

Ramkarpal menegaskan, terdapat peruntukan undang-undang yang mencukupi untuk anggota terbabit digantung sementara menunggu siasatan.

“Jika tindakan tidak diambil dengan segera, ada potensi rasuah akan terus berjalan di sempadan. Bukti dan akibat yang tidak diingini lain sebelum ini ternyata telah benar-benar mengejutkan negara,” ujar beliau.

Akhbar New Straits Times baru-baru ini melaporkan bahawa 80 peratus – atau bersamaan lapan daripada 10 pegawai penguatkuasa dan anggota keselamatan di sempadan negara – terlibat dengan aktiviti rasuah.

Mereka didakwa menerima bayaran tetap daripada sindiket yang menguruskan dadah, senjata api dan penyeludupan manusia.

Dilaporkan pihak SB telah menghantar maklumat yang dikumpulkan kepada agensi terlibat namun tidak ada tindakan diambil sehingga kini. – Roketkini.com