Berita, Isu Semasa

Peletakan jawatan wakil PAS: Guan Eng terima tanpa soal

GEORGE TOWN, 6 JUN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memaklumkan bahawa beliau akan menerima peretakan jawatan wakil PAS dalam kerajaan negeri itu tanpa sebarang soalan.

Beliau berkata, ini berikutan peletakan jawatan tersebut langsung tidak memberi sebarang impak terhadap kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri Pulau Pinang.

lge1-650x400“Peletakan jawatan wakil PAS dalam kerajaan negeri tidak dapat dielakkan berikutan keputusan muktamar yang menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan bagi memutuskan hubungan dengan DAP, meskipun kekal dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Guan Eng, biarpun tidak ada perdebatan dibenarkan semasa muktamar bagi usul itu, kepimpinan baru PAS berhak untuk mengemudi parti mereka dengan cara yang difikirkan wajar, melalui demokrasi atau autokrasi.

“Saya tidak akan mengulas tetapi menyerahkannya kepada PAS untuk menjawab kedudukan kontradik mereka apabila memutuskan hubungan dengan DAP tapi kekal dalam PR.

“Walhal PR berfungsi atas konsensus kesemua tiga parti dan tidak ada satu parti pun boleh membuat keputusan bagi pihak PR.

“Namun PAS mempunyai kebebasan dan hak untuk memutuskan hubungan dengan DAP,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Guan Eng menyatakan, beliau sedikit kesal kerana selama ini mempunyai hubungan kerja amat mesra dan baik dengan kebanyakan wakil PAS.

“Adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan dari segi politik bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri yang diterajui oleh saya,” katanya. – Roketkini.com