Berita, Isu Semasa

Ribut di Kluang: DAP lancar kempen kutipan derma

KLUANG, 6 JUN: Atas dasar kemanusiaan, DAP melancarkan kempen kutipan derma ‘Projek 100001’ bagi membantu mangsa ribut di Kluang.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, melalui kempen itu beliau berhasrat untuk mengutip sumbangan sebanyak RM100,001 dalam masa singkat untuk disumbangkan kepada mangsa ribut.

Chin Tong dan ADUN Mengkibol mengedar kanvas kepada mangsa ribut.

Chin Tong dan ADUN Mengkibol Tan Hong Pin mengedar kanvas kepada mangsa ribut.

“Sasaran kami adalah untuk mengutip RM100,001 dalam masa 30 jam (bermula semalam), supaya ia dapat disumbangkan untuk menampung keperluan dan mengurangkan keperitan hidup mangsa-mangsa.

“Terutama menjelang bulan Ramadan, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga dan memberi sokongan bagi menjayakan kempen ini,” katanya.

Pada 2 Jun lalu, dilaporkan lebih 160 rumah di empat kawasan perumahan terutama di Taman Indah Jaya serta kawasan sekitar Kluang rosak teruk akibat ribut yang melanda.

Selain Taman Indah Jaya 1 & 2, yang turut terjejas ialah Taman Ko-Rakyat, Taman Matahari, Taman Dato Amar Diraja, Taman Sri Paya, Taman Ilham dan Taman Bertuah.

Nilai kerugian setakat ini dianggarkan kira-kira RM2.04 juta dan kerajaan negeri setakat ini sedang menunggu laporan terperinci daripada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) bagi memudahkan permohonan bantuan diberikan.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan di Akaun Public Bank ‘DAP Johor State Committee’ dengan nombor 3101109707, sebelum jam 12 tengah malam.

Sumbangan tunai juga boleh diberikan di Pusat Komuniti Kluang.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi nombor berikut 07-7779758 atau 016-7181758. – Roketkini.com