Berita, Isu Semasa

Empat individu fail injunksi halang RUU hudud dibahas

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Usaha pas membawa rang undang-undang persendirian bagi melaksanakan hudud terus berdepan cabaran.

hukum-hudud-di-aceh

Pelaksanaan hudud di Aceh

Hari ini, empat individu tampil memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk  menghalang Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan rang undang-undang  berkenaan untuk dibahaskan di parlimen.

Mereka ialah Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin yang  memfailkan permohonan tersebut Khamis lalu menerusi peguam Siti Kasim dan Farez Jinnah.

Siti Kasim berkata, Abdul Hadi cuba mengubah Perlembagaan Persekutuan melalui “pintu belakang”  dalam cubaan mengubah landskap undang-undang di Kelantan serta Malaysia.

“Secara teknikalnya, ia meminda perlembagaan. Ini bukan mengenai Kelantan saja,” kata Siti, seperti  dilapor Malaysian Insider.

Jika rang undang-undang itu diluluskan, kata Siti Kassim, ia membenarkan umat Islam di Malaysia dihukum mengikut terjemahan mereka ke atas undang-undang syariah.

Berikutan itu, katanya, rang undang-undang berkenaan tidak boleh dibahaskan sehingga kes berkenaan selesai dibicarakan di mahkamah bermula 12 Jun.

Abdul Hadi sebelum ini menghantar notis ke Parlimen bagi membentangkan usul persendirian mengenai Hudud Kelantan pada 18 Mac lalu.
Walaupun tersenarai dalam Kertas Peraturan, ia tidak pernah dibahaskan. – Roketkini.com