Berita, Budaya

Mengapa Arab Saudi, bukan Sabah Najib?

KUALA LUMPUR, 8 JUN: “Najib, hang pi mana?” Demikian soalan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng apabila kelibat Datuk Seri Najib Razak tidak muncul melawat kawasan gempa bumi di Sabah.

Kata Lip Eng, perdana menteri dilihat lebih berminat meneruskan ziarahnya ke Arab Saudi walaupun Sabah digegarkan dengan bencana alam.

“Saya ingin bertanya kepada perdana menteri, mengapa beliau tidak berada di Sabah? Apakah urusan yang begitu penting di luar negara berbanding menyantuni keluarga mereka yang terkorban akibat gempa?” tanya Lip Eng.

Katanya, Najib perlu faham bahawa beliau bukan saja tidak boleh melarikan diri dari sebarang dialog, tetapi juga tidak boleh melarikan diri dalam keadaan negara berhadapan bencana.

Dalam pada itu, soalan yang lebih kurang serupa turut dibangkitkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Kata Kit Siang, mengatakan rakyat Sabah tidak berpuas hati dengan kenyataan Najib yang kononnya memantau bencana itu dari Arab Saudi.

Bagaimanapun, Kit Siang menggesa Najib terbang ke Sabah sebaik saja lawatannya ke Arab Saudi berakhir.

“Najib perlu pastikan semua agensi pusat dan negeri memulakan tugas segera membaiki dan memulihkan semua infrastruktur yang rosak akibat gempa bumi itu, termasuk 23 buah sekolah, masjid dan kuil di Ranau.

“Najib juga bertanggungjawab memberikan penghargaan terhadap wira tak didendang yang mempertaruhkan nyawa mereka demi memastikan pendaki cedera dibawa ke tempat selamat, terutama pemandu dakian Robert Sapinggi turut terkorban dalam gempa bumi,” ujar Kit Siang.

Gempa bumi berskala 6.0 magnitud itu mengorbankan 18 nyawa setakat ini. – Roketkini.com