Berita, Budaya

Pembida tertinggi catan Maestro DAP dicari

PONTIAN, 8 JUN: Peminat-peminat catan tanah air dijemput membida sebuah catan minyak ‘Maestro Politik DAP” Lim Kit Siang untuk dana pengurusan Pejabat Wakil Rakyat Pekan Nenas.

482860_10200992212995997_1767033761_n

Penulis, pelukis dan budayawan Mahdzir Ibrahim

Menurut pelukisnya Mahdzir Ibrahim aktiviti bidaan lukisan itu diadakan untuk mendanai sebuah pejabat  khidmat rakyat adalah perkara baru dalam masyarakat Malaysia.

“Acara Ini julung kali diadakan. Sebelum ini, belum pernah ada usaha mana-mana pihak untuk menggunakan  pendekatan seni visual dengan membida karya lukisan bagi tujuan berikut.

“Maka dengan itu, kita menjemput mana-mana peminat seni lukis atau Kit Siang untuk membida lukisan  tersebut. Mereka yang membuat bidaan tertinggi akan memiliki karya berkenaan,” katanya.

Catan karya Mahdzir yang menggambarkan Kit Siang sedang tersenyum adalah koleksi unik yang tidak ada  di mana-mana premis galeri atau gerai seni.

Bidaan akan dilakukan dalam sebuah majlis makan malam 20 Jun nanti.

Pihak yang berminat untuk membida karya tersebut boleh menghubungi urusetia Majlis Makan Malam di  talian 012-7077253 (Sdr Apollo), 013-6617698 (Kamarul) dan 013-3404134 (Amus).

Bidaan secara terus juga boleh dilakukan dengan menempah tiket bagi menghadiri majlis malam itu nanti. – Roketkini.com